Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN

KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 kes positif Covid-19 direkodkan pada hari ini.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 9,149 kes dengan 196 pesakit dengan kebolehjangkitan pendemik itu sedang dirawat di hospital.

Daripada 20 kes baharu yang dilaporkan, tujuh kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan enam warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara.

“Tujuh kes import tersebut adalah dari negara Lubnan (3 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); Indonesia (1 kes di Selangor); Perancis (1 kes di Selangor); Yaman (1 kes di Sarawak); dan Taiwan (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).

“Daripada 13 kes penularan di dalam negara, kesemua kes adalah di kalangan warganegara Malaysia,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah, hari ini.

Kedah mencatatkan kes terbanyak hari ini dengan 11 kes (10 kes Kluster Tawar, dan 1 kes Kluster Muda).

Sementara satu kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan satu kes saringan Kluster Tawar (Pulau Pinang) direkodkan pada hari ini.

Satu kes Kluster Tawar di Pulau Pinang itu dijangkiti Covid-19 kerana mempunyai kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-9149).

“Beliau juga mempunyai sejarah melawat kes ke-9113 dan kes ke-9129 di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang,” jelas Noor Hisham.

Noor Hisham juga memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian akibat pendemik itu kekal sebanyak 125 kes.

Dalam pada itu, tujuh kes yang telah pulih Covid-19 direkodkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,828 kes. – MalaysiaGazette