Suspek yang merupakan bekas Setiausaha Sulit Kanan seorang bekas Menteri kerajaan terdahulu direman lima hari berikutan kes rasuah di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 15 OGOS 2020.

PUTRAJAYA – Bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSZ) kepada bekas Menteri Pelancongan akan dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur bersabit kes rasuah projek pengiklanan kelolaan kerajaan pada Rabu ini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek berusia 29 tahun itu akan didakwa atas pertuduhan kes rasuah bernilai RM3.7 juta berhubung projek pengiklanan kelolaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada 2019.

“Bekas SUSK itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah Rasuah, Kuala Lumpur di Jalam Duta pada Rabu 19 Ogos 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ditanya mengenai status tunangnya sama ada akan dituduh di mahkamah pada hari yang sama, seorang jurucakap SPRM menjelaskan, ia akan ditentukan kemudian oleh bahagian pendakwaan.

Terdahulu beliau turut memaklumkan suspek yang beralamat di Semporna Sabah telah direman lima hari oleh SPRM di Mahkamah Majistret di sini bermula hari ini bagi membantu siasatan .

Turut direman adalah tunang wanitanya berusia 28 tahun dari Lahad Datu Sabah selepas kedua-dua mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 5.30 petang dan 10.00 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan.

Mereka sebelum ini dijejaki oleh SPRM selepas menghilangkan diri kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah melibatkan wang daripada sebuah syarikat yang mendapat projek promosi pengiklanan kelolaan Kementerian Pelancongan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette