Calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi beramah mesra dengan pasangan pengantin, Amirul Aizar dan Nurul Haziqah Mohd Asri semasa hadir Majlis Perkahwinan mereka sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Felda Besout 1, Perak. foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2020

SLIM RIVER –  Calon bebas yang mewakili kem bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mendapat suntikan motivasi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeru (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Amir yang juga seorang peguam berkata, ini kerana beliau telah mendapat sokongan ketika bertemu pemimpin tempatan Pakatan Harapan (PH) sejak mula berkempen pada Sabtu lalu.

“Saya sudah bertemu pemimpin parti Pakatan Harapan (PH) yang lain seperti PKR, Amanah dan DAP dan mereka telah menzahirkan sokongan kepada kempen saya.

“Dan perlu ingat pada 13 Ogos lalu ketika pengumuman nama saya dibuat oleh Ayahanda Tun (Mahathir) hampir semua parti komponen PH termasuk Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan pemimpin tertinggi DAP, Anthony Loke telah hadir dan menyata sokongan kepada saya sebagai calon bebas dan akan berkempen habis untuk saya,” katanya.

Calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi bercakap kepada media semasa hadir Majlis Perkahwinan Amirul Aizar dan Nurul Haziqah Mohd Asrisempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Felda Besout 1, Perak. foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2020

Amir menambah, beliau tidak kisah jumlah sasaran 14,000 undi yang disasarkan oleh Barisan Nasional pada PRK DUN Slim ini.

Bagi dirinya, menang dengan majoriti satu atau dua undi tetap merupakan kemenangan buat partinya yang bakal didaftar dengan nama Parti Pejuang Tanahair (Pejuang)

“Yang hendak tarik 14,000 undi, itu mereka (BN) punya pendapat. Bagi saya apabila kita bertanding sudah pasti saya hendak menang tentang jumlah, menang satu atau dua undi itu adalah kemenangan buat saya,” katanya.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Allahyaram merupakan wakil rakyat kawasan itu sejak PRU11 pada 2004.

Calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi diperiksa suhu badan oleh pasangan pengantin, Amirul Aizar dan Nurul haziqah Mohd Asri semasa hadir Majlis Perkahwinan mereka sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Felda Besout 1, Perak. foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2020

Pada PRU14, Khusairi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dengan memperoleh majoriti 2,183 undi.

Slim adalah antara DUN dalam Parlimen Tanjung Malim selain Behrang dan Sungkai.

Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu membabitkan 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan dua pengundi tidak hadir luar negara.

SPR menetapkan PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos ini dan pengundian awal pada 25 Ogos ini. – MalaysiaGazette