Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr Arshad Ayub mendahului senarai 829 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020, hari ini.

Tengku Maimun dan Dr Arshad merupakan tokoh utama dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’.

Gelaran tersebut dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mereka antara 31 individu yang akan menerima darjah kebesaran masing-masing dalam Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan (hari pertama) yang berlangsung di Istana Melawati, Putrajaya.

Empat lagi tokoh utama menerima darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Tokoh berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Jeneral, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Seramai 12 lagi menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran ‘Tan Sri’, manakala 29 orang menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) dan lima penerima Darjah Panglima Setia Diraja (PSD), masing-masing membawa gelaran Datuk.

Penerima PSM ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad, bekas Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Turut menerima PSM ialah Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) Datuk Ahmad Nizam Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif, The Lotus Corporation Berhad, Datuk R. Doraisingam, Presiden Sunway Group Berhad, Datuk Chew Chee Kin, Pengarah Urusan Platinum Victory Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Gan Yu Chai, Pengasas dan Pengarah Urusan SENA Group of Companies yang juga Pengasas dan Pengarah Optimax Holding Berhad, Datuk Tan Boon Hock.

Penerima PJN antaranya ialah Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Hakim Mahkamah Rayuan, Ravinthran N. Paramaguru.

Turut dianugerahkan PJN ialah Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Mohd Rabin Basir, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lokman Hakim Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Mohd Gazali Abas.

Penerima lain PJN ialah Panglima Armada Barat Laksamana Madya, Datuk Aris Adi Tan Abdullah, Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki, Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami dan Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Laksamana Madya Datuk N. Ganesh.

Di samping itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan juga menerima PJN.

Turut dianugerahkan PJN adalah Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Mohamed Farid Abu Hassan, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed dan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Datuk Zamri Yahya.

Antara penerima PJN yang lain ialah Naib Pengerusi CRSC Holdings Berhad, Datuk Mohamed Salleh Bajuri, Ahli Lembaga Amanah Tekun Nasional, Wan Mohd Shaharir Wan Abd Jalil, Presiden dan Ketua Eksekutif SIRIM Berhad, Prof Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Low Yat Group, Low Gee Teong.

Penerima PSD pula ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri, Mohammad Ismail, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Roziah Abudin, Ketua Unit Endokrin Hospital Putrajaya, Dr Zanariah Hussein, Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr Mahathar Abd Wahab dan Pengarah Cawangan Tenaga Kerja ATM, Briged Jeneral S. Suriakala.

Selain itu, seramai 27 individu dikurniakan Johan Mangku Negara (JMN) antaranya Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Zulkifli Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia Mohamed Zaini Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia Azlikamil Napiah.

Sementara itu, antara  ‘orang kuat’ barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Norhayati Rusli dikurniakan Johan Setia Mahkota (JSM) bersama 37 individu lain.

Antara tersenarai dalam 147 penerima Kesatria Mangku Negara (KMN) ialah Pengarah Bahagian Program TV Radio Televisyen Malaysia (RTM), Lokman Muda manakala penyampai berita dan wartawan penyiaran Media Prima, Pang Chinn Fei serta personaliti TV, Terrence Joseph Dass masing-masing tersenarai dalam 182 penerima Ahli Mangku Negara (AMN).

Tahun ini juga menyaksikan seramai 11 individu dianugerahkan Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD), 328 Pingat Pangkuan Negara (PPN) dan 44 Pingat Bentara Setia Diraja (BSD). – Bernama