KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan mengenai siapa calon Ketua Menteri Sabah akan diputuskan selepas Barisan Nasional (BN) berjaya mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini pucuk pimpinan parti belum melihat perkara itu kerana yang penting UMNO dan BN perlu menang terlebih dahulu.
Beliau menggesa semua jentera parti meneruskan tumpuan bagi memastikan BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Kita hanya akan fikirkan soal calon Ketua Menteri sebaik sahaja parti kita berjaya mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.
“Yang penting kita harus menang dan jika mendapat cukup majoriti untuk membentuk kerajaan negeri, baru kita fikir dan putuskan ketika itu,” katanya sebagaimana dipetik SuaraTV.
Beliau berkata demikian kepada media itu selepas merasmikan penutup kursus Skuad Sabil Sabah di Kem Warisan Negara, Kundasang, semalam.
Ahmad Zahid turut menjelaskan, BN Sabah akan mengadakan perbincangan bersama parti yang mesra dengan parti itu terlebih dahulu sebelum memuktamadkan senarai calon.
“Pertamanya kita harus mewujudkan penyatuan pemikiran di kalangan pemimpin UMNO Sabah.
“Walaupun kita tahu terdapat 46 kerusi Bumiputera Islam di Sabah, tetapi kita belum mengadakan perundingan dengan rakan kita yang lain.
“Tapi, saya amat yakin perundingan yang terbaik akan dilakukan sebelum saya muktamadkan senarai calon bersama kepimpinan UMNO/BN Sabah dan parti lain di Sabah ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















