Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Hanif Yusabra Yusuf (kanan) bersama para pegawai menunjukkan nombor plat kenderaan yang sering menjadi kegemaran pembida selepas sidang akhbar bidaan siri DDU melalui aplikasi JPJeBid di Pejabat JPJ Kelantan hari ini. Bidaan siri DDU menerusi aplikasi JPJeBid akan dibuka selama lima hari bermula 13 Ogos sehingga 17 Ogos ini.-BERNAMA

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekodkan kutipan bidaan tertinggi berjumlah RM1.78 juta bagi siri nombor pendaftaran kenderaan DDU.

Pengarah JPJ Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata, bidaan yang dibuka sejak lima hari lepas itu melangkaui sasaran awal iaitu sebanyak RM1.35 juta dan merupakan kutipan tertinggi siri nombor pendaftaran sejak JPJeBID diperkenalkan bagi Kelantan.

“Bilangan pengguna berdaftar dengan JPJeBid pada masa tarikh tutup siri adalah seramai 238,252 dengan melibatkan 2,040 pembida dan daripada jumlah itu hanya 341 pembida yang berjaya.

“Jumlah harga bidaan tertinggi bagi siri DDU adalah melibatkan nombor pendaftaran DDU 1 yang bernilai RM118,888 dan nombor siri DDU 83 dan DDU 117 mendapat bidaan tertinggi dengan 13 pembida,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh dua belas bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan di pejabat JPJ negeri atau cawangan.

Hanif Yusabra berkata, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minimum.

“Harga bidaan akan mengikut kategori yang telah ditetapkan iaitu kategori nombor bernilai utama dengan nilai RM20,000, nombor menarik (dua digit) RM3,000, nombor menarik (tiga digit) RM2,500, nombor menarik (empat digit) RM2,000, nombor popular RM500 dan nombor semasa bernilai RM300.

“Orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran ini, boleh berurusan di pejabat JPJ negeri atau cawangan. Selain itu, orang awam juga disaran untuk memiliki ID mySIKAP awam bagi mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan lagi dan seterusnya membeli secara dalam talian,” katanya.

— BERNAMA