Bekas Pengurus Kanan Teknikal (Seksyen Pembangunan Hartanah) Lembaga Tabung Haji, Zaharudin Hamid (tengah) dibawa Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan atas kesalahan menerima rasuah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengurus kanan Lembaga Tabung Haji (TH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM170,477 pada 2015 dan 2018.

Tertuduh, Zaharuddin Hamid membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub.

Zaharuddin yang pernah menjadi pengurus kanan teknial untuk unit Pembagunan Hartanah TH menundukkan kepala ketika pertuduhan itu dibacakan.

Tertuduh didakwa telah menerima suapan daripada Yusaidi Mohd melalui syarikat Amaneez Creative Solution menggunakan cek yang didepositkan ke dalam akaun Maybank milik kakaknya, Zanita Hamid.

Jumlah tersebut ialah RM170,477 yang diterimanya sebagai upah mencadangkan syarikat Consoline Sdn Bhd dan Syarikat MNB Engineering Sdn Bhd bagi kerja ubah suai pejabat TH Ipoh (IFiC), Perak dan tiga pejabat di Johor iaitu TH Muar, TH Batu Pahat serta TH Kluang.

Ketiga-tiga kesalahan itu telah dilakukan di Maybank Desa Pandan, Kuala Lumpur antara 5 Oktober 2015 dan 24 Mei 2018 mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Abdul Rashid Sulaiman mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, Abdul Rashid juga mencadangkan syarat tambahan dengan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Ibu Pejabat SPRM sebulan sekali.

Ketika Rozina bertanyakan alasan mengapakah cadangan itu diberikan, Abdul Rashid berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh bukanlah sesuatu boleh dipandang ringan.

Jelas Abdul Rashid, tertuduh bukan sahaja melakukan kesalahan rasuah sebaliknya menggunakan kedudukannya dalam Tabung Haji untuk perbuatan tersebut.

“Ini sememangnya satu kesalahan cukup serius, sabit kesalahan boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara.

“Dia mempergunakan jawatan dalam Tabung Haji sebagai pengurus kanan untuk melakukan perbuatan itu yang sepatutnya diambil kira,” hujahnya.

Namun peguam bela Abdul Rashid, M Athimulan memohon supaya mahkamah mengambil kira keadaan tertuduh yang bukan sahaja tidak bekerja, sebaliknya mengalami tekanan perasaan.

“Kita mohon jaminan sekitar RM40,000 yang arif. Anak guam saya tidak bekerja dan hanya bergantung kepada isterinya. Tidak ada kerja sampingan lain.

“Ketika siasatan juga, anak guam saya telah berikan kerjasama yang baik kepada SPRM,” ujarnya.

Rozina juga sempat bertanya sendiri kepada tertuduh mengapakah dia tidak bekerja walaupun umurnya baru 47 tahun.

Beliau diberitahu tertuduh tidak mampu bekerja berikutan tekanan yang di hadapinya sehingga memaksa beliau untuk berhenti kerja tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh tidak memberikan apa-apa laporan kesihatan yang dihadapinya daripada hospital.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Selain itu tertuduh juga perlu melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga kes selesai.

Rozina juga menetapkan sebutan semula kes pada 22 September depan. – MalaysiaGazette