Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun (tengah) bersama Timbalan-Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon (kiri) dan Datuk Seri Azalina Othman (kanan) pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat menafikan tuduhan pembangkang bahawa tindakannya menghentikan persidangan selama 10 minit sebelum pengundian belah bahagian mengenai Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2020, dilakukan semalam sebagai cubaan untuk membantu kerajaan memastikan jumlah Ahli Parlimen mencukupi pada proses pengundian.

Justeru itu, Datuk Seri Azhar Azizan Harun memberi penjelasan kepada semua Ahli Parlimen bahawa ketetapan itu adalah petua yang dimasyhurkan beliau pada 11 Ogos lalu.

Kata beliau, petua itu diterima baik oleh semua Ahli-ahli Parlimen tanpa sebarang bantahan.

“Bila saya masyhurkan pada 11 Ogos lalu saya tidak dapat apa-apa maklumbalas negatif dari mana-mana Ahli Parlimen,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 diluluskan di peringkat dasar semalam selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperoleh majoriti tipis dengan 111 undi menyokong.

Seramai 106 Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menolak dan 5 lagi wakil rakyat tidak hadir.

Sebelum proses undian berlangsung, Azhar Azizan menghentikan mesyuarat Dewan Rakyat itu selama 10 minit dan meninggalkan dewan sehingga mengundang rasa tidak puas hati Ahli Parlimen di blok pembangkang yang mempersoalkan tindakannya itu.

Menjelaskan secara lanjut, Azhar Azizan berkata, Dewan Rakyat sebelum ini telah bersetuju untuk memberi tempoh 10 minit kepada Ahli Parlimen bergerak masuk ke dalam dewan jika ada proses pengundian belah bahagian.

Peraturan itu adalah sebahagian daripada “norma baru” memandangkan penggunaan lif ketika ini juga mempunyai had bagi penjarakan sosial.

Azhar berkata, henti waktu 10 minit setelah loceng dibunyikan selama dua minit, adalah untuk membolehkan Ahli Parlimen berjalan dari blok pejabat ke Dewan Rakyat.

“Semalam bila saya cuba terangkan, suara saya ditenggalami lautan keghairahan Ahli-ahli Parlimen yang mahu ambil bahagian dalam (pengundian) belah bahagi.

“Oleh itu, saya harap tak timbul lagi kekeliruan seperti ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette