Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin. - foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin. - foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Sabah memutuskan akan menggunakan logonya sendiri bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), kelak.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin bagaimanapun berkata, keputusan itu akan dibincangkan dengan parti-parti lain yang akan turut bertanding.

“Pakai logo BN.

“Bagaimana parti lain? (soalan wartawan) Itu kita akan adakan perbincangan (dengan parti-parti lain),” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Hadir sama adalah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid Hamidi

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN akan mengadakan rundingan mengenai keputusan untuk menggunakan logo gabungan itu pada PRN kali ini.

Ini kerana terdapat parti lain yang akan turut bertanding dalam PRN ini selain UMNO antaranya Parti Rakyat Bersatu Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Bersatu dan Parti Cinta Sabah (PCS) pimpinan Datuk Seri Anifah Aman.

“Kita tahu parti yang terlibat selain UMNO dan PBRS, ialah Star, PBS dan kita tahu terdapat beberapa parti lain yang juga berhasrat untuk meletakan calon mereka termasuklah Bersatu yang mempunyai ADUN yang asalnya adalah milik BN.

“Kita akan memurnikan perundingan dan tentunya kita punya peluang ini iaitu Pengerusi BN Sabah dan UMNO mengadakan rundingan di peringkat awal dengan Presiden yang berkenaan,” kata Zahid dalam sidang media sama.

Ditanya mengenai senarai penuh calon-calon yang akan bertanding, Bung Mokhtar berkata, perkara itu masih belum diputuskan.

“Dalam proses lagi dan kita sedang perhalusi,” katanya.

Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa BN menyerahkan kepada Bung Moktar untuk menentukan calon ketua menteri selepas gabuangan itu menang dengan majoriti mudah.

Ini kerana UMNO Sabah mempunyai kuasa autonomi untuk membuat keputusan.

“Memilih seorang ketua menteri dalam kalangan ADUN apabila mendapat kemenangan dengan majoriti mencukupi bagi pembentukan kerajaan negeri Sabah yang baru.

“Lepas PRN kalau dapat majoriti mudah perundingan akan dijalankan dengan semua ADUN yang ada.

“Di Sabah ada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Bagi pembentukan kerajaan negeri, ini tahap kedua untuk hadapi perundingan selepas pilihan raya tamat,” katanya lagi.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom mengumumkan perkara itu di Kota Kinabalu selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai pengurus pilihan raya di sebuah hotel di bandar raya berkenaan.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 12 September manakala tarikh pengundian awal pula diadakan pada 22 September.

Berdasarkan tarikh yang diumumkan itu, tempoh untuk berkempan bagi semua calon yang bertanding ialah selama 14 hari

Pada 30 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan Yang Di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin telah berkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan. – MalaysiaGazette