Seorang tukang gunting ditahan semalam, selepas dipercayai merogol seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun di sebuah kedai di sini.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kes jenayah seksual ke atas kanak-kanak yang direkodkan lebih 1,721 kes setakat enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, statistik itu dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 30 Jun 2020.

“Statistik jenayah seksual ke atas kanak-kanak pada tahun 2020 sehingga 30 Jun 2020 yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah sebanyak 1,721 kes.

“Mengikut pecahan daripada jumlah itu kesalahan rogol (651 kes), sumbang mahram (106 kes), luar tabii (106 kes), cabul (344 kes) dan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (514 kes),” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikin menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir yang meminta menteri memperincikan sejauh mana jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak yang menjadi mangsa pedofilia berlaku dalam negara kita dan usaha-usaha menanganinya.

Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang itu berkata, berdasarkan kajian penanda aras yang dikeluarkan oleh ‘The Economist Intelligence Unit’ pada tahun 2019 meletakkan Malaysia di tempat ke- 23 daripada 60 buah negara dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, kerajaan telah mengambil pelbagai tindakan untuk menangani isu jenayah pedofilia daripada aspek pencegahan, perundangan, intervensi, sistem sokongan dan juga kajian atau penyelidikan lanjut untuk membantu memantapkan sistem sedia ada.

Ia susulan kes Richard Huckle, seorang warganegara Britain yang telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah Britain selepas mengaku bersalah atas pertuduhan penderaan seksual ke atas kanak- kanak di Malaysia pada tahun 2016.

“Antara contoh inisiatif termasuklah, program advokasi seperti kempen keselamatan kanak-kanak di Sekolah – Sahabat B.I.J.A.K (Banteras Indeks Jenayah terhadap Kanak-Kanak), Penggubalan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Penalti-penalti yang berat sehingga 30 tahun hukuman penjara dan hukuman sebat, Penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak telah ditubuhkan di Putrajaya pada tahun 2017 dan di Kuching pada tahun 2018 bagi mempercepatkan proses kehakiman bagi kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette