Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Lembaga Pengawasan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengeluarkan Laporan Pemeriksaan Tahunan bagi tahun 2019 dan menggesa juruaudit untuk meningkatkan tahap kewaspadaan dan respons terhadap isu-isu yang muncul terutamanya semasa pandemik Covid-19.

AOB menekankan bahawa juruaudit dan Jawatankuasa Audit perlu memberi perhatian khusus terhadap bidang-bidang fokus tertentu ketikamelaksanakan tanggungjawab mereka sebagai respons kepada pandemik tersebut bagi memastikan kualiti audit yang konsisten.

Bidang-bidang tersebut termasuk usaha berterusan, rosot nilai aset, peristiwa selanjutnya dan audit kumpulan.

“Sebagai pengawal selia audit, AOB berpendapat bahawa penyata kewangan yang teraudit yang andai menjadi asas kepada pasaran modal yang dipercayai. Wujud keperluan yang lebih besar bagi para profesional audit agar sentiasa berwaspada dan lebih skeptikal ketika meneliti penzahiran dan maklumat yang berkaitan dengan kesan pandemik Covid-19, terutamanya apabila berkaitan dengan entiti kepentingan awam,” menurut Pengerusi AOB, Datuk Gumuri Hussain.

Laporan Pemeriksaan Tahunan AOB 2019 memberikan pandangan terhadap pemerhatian yang berbangkit daripada pemeriksaan yang dijalankan oleh pengawal selia audit tersebut.

AOB berkata, sebanyak 43 firma dan 337 juruaudit kini berdaftar atau diiktiraf oleh AOB.

Pada 2019, AOB memeriksa enam firma audit utama dan tujuh firma audit lain, yang secara kolektif mengaudit 72.6% daripada jumlah entiti kepentingan awam (PIE).

Melalui pemeriksaannya, AOB mendapati prestasi firma audit utama adalah agak konsisten sejak beberapa tahun yang lalu.

Bagaimanapun, AOB khuatir perbezaan yang ketara diperhatikan dalam kualiti audit firma audit lain, yang mana 50% daripada pembabitan audit yang diperiksa memerlukan penambahbaikan yang signifikan.

Bagi meningkatkan lagi ketelusan, kebertanggungjawaban dan kemampanan yang lebih kukuh firma dalam pasaran audit, mulai tahun 2021, AOB akan mewajibkan Pelaporan Ketelusan Tahunan oleh firma-firma yang mempunyai lebih 50 pelanggan audit PIE, dan secara kolektif mengaudit pelanggan dengan permodalan pasaran melebihi RM10 bilion selama dua tahun kewangan berturut-turut.

Firma-firma tersebut dikehendaki mendedahkan struktur perundangan dan tadbir urus korporat, langkah-langkah yang diambil untuk menegakkan kualiti audit, dan pengukuran petunjuk bagi kualiti audit mereka.

AOB memperkenalkan inisiatif ini pada bulan Ogos 2019, tetapi menangguhkan pelaksanaannya hingga 2021 memandangkan penularan pandemik Covid-19.

Malah, AOB telah mengedarkan Laporan Pemeriksaan Tahunan 2019 kepada firma-firma audit dan syarikat awam tersenarai (PLC) untuk meningkatkan kefahaman para pengarah dan Jawatankuasa Audit mengenai pemerhatian yang timbul daripada pemeriksaan AOB dan untuk memudahcarakan perbincangan antara PIE dan juruaudit masing-masing, seterusnya memastikan bahawa bidang risiko khusus untuk entiti mereka ditangani dengan secukupnya. – MalaysiaGazette