Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Terdapat tiga kes baharu masing-masing melibatkan satu kluster Tawar dan dua dari kluster Sala dilaporkan di negeri Kedah dalam perkembangan terbaharu Covid-19 di dalam negara pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 bagi kluster Tawar  sebanyak 47 kes.

Katanya, seramai 1,490 orang telah disaring dalam kluster berkenaan setakat 12 tengahari tadi.

“Mengikut pecahan kes negeri, di Kedah sahaja seramai 1,195 individu telah disaring dan 40 kes daripadanya dikesan positif Covid-19 manakala 858 individu lagi disahkan negatif sementara 297 individu masih menunggu keputusan.

“Manakala di Pulau Pinang seramai 286 individu disaring dan tujuh daripadanya dikesan positif Covid-19, 216 individu lagi disahkan negatif dan 63 lagi individu masih menunggu keputusan.

“Di Perak pula sembilan individu telah disaring setakat ini dan kesemuanya dikesan negatif Covid-19,” katanya dalam sidang media khas jangkitan harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan petang tadi.

Dalam pada itu, katanya, dua kes baharu positif Kluster Sala di Kedah hari ini juga menjadikan jumlah kes positif meningkat kepada lapan kes bagi kluster itu setakat ini.

Kata beliau, sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 635 orang telah disaring dalam
kluster tersebut.

Menyentuh pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit bagi Kluster Sala, ujarnya di Kedah seramai 629 orang telah disaring dan lapan daripadanya dikesan positif Covid-19.

Menurut beliau, 479 individu lagi disahkan negatif Covid-19 sementara 142 individu lagi masih menunggu keputusan saringan.

“Di Pulau Pinang pula enam orang disaring dan tiada kes dikesan positif Covid-19 yang mana empat individu negatif dan dua lagi individu masih menunggu keputusan.

“Pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat bagi kedua-dua kluster masih diteruskan,” ujar beliau.

Dr. Noor Hisham juga menegaskan punca jangkitan kluster Tawar dan Sala masih di dalam siasatan namun setakat ini hasil siasatan ke atas kes-kes positif kedua-dua kluster berkenaan mendapati bahawa penularan jangkitan dalam kedua-dua kluster ini telah disumbang oleh beberapa faktor umum.

Keluh beliau, penularan jangkitan kluster Tawar didapati disumbang
oleh perhimpunan di kalangan ahli keluarga yang tidak sepenuhnya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Misalnya, kapasiti tetamu perhimpunan tidak mengikut saiz ruang dan penjarakan fizikal yang selamat di antara satu sama lain sekali gus membantu penularan yang meluas dalam kluster ini, meskipun kes indeks dan punca sebenar jangkitan masih dalam siasatan.

“Bagi Kluster Sala pula, kes indeks mempunyai sejarah menziarahi pesakit di sebuah hospital bersama beberapa ahli keluarga beliau yang mana walaupun tiada kes positif Covid-19 yang  dikesan daripada saringan di hospital tersebut.

“Namun begitu kesemua ahli keluarga yang telah pergi bersama kes indeks untuk menziarahi pesakit tersebut telah dikesan positif,” katanya.

Dr. Noor Hisham juga menegaskan jangkitan Covid-19 merebak kepada kontak-kontak rapat kes indeks dan ahli keluarga beliau dikhuatiri berikutan amalan melawat hospital yang mungkin menyumbang kepada penularan jangkitan memandangkan di hospital terdapat banyak pesakit dan mengundang risiko jangkitan.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan besar penularan jangkitan dalam kedua-dua kluster ini dapat dibendung sekiranya amalan 3S dapat dilaksanakan oleh semua pihak, iaitu elakkan tempat yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat.-MalaysiaGazette