Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan tiga kes rasuah berjumlah RM5.4 juta membabitkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM140 juta ditangguhkan hari ini.

Kes rasuah ini ditangguh kepada esok kerana Abdul Azeez terpaksa menghadiri sesi Parlimen bagi mengundi Rang Undang-Undang (RUU) ) Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020.

Peguam mewakili tertuduh, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan kepada hakim permohonan penangguhan perbicaraan kerana anak guamnya perlu menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Aslinda Ahad memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak keberatan terhadap permohonan penangguhan tersebut.

Hari ini sepatutnya merupakan hari pertama perbicaraan rasuah Abdul Azeez dan abangnya, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim dibicarakan bersama-sama.

Pada masa sama, seorang lagi peguam Abdul Azeez, M Athimulan memberitahu mahkamah pihak pembelaan perlukan penangguhan kerana keterangan saksi pendawaan hanya diberikan minggu lepas.

“Kami perlukan masa untuk meneliti keterangan saksi sebelum perbicaraan ini bermula,” terangnya.

Mengikut peruntukan, keterangan saksi pendakwaan perlu diserahkan kepada pihak pembelaan 14 hari sebelum perbicaraan dimulakan.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan penangguhan sehingga 9 pagi esok selain mengarahkan pihak pendakwaan untuk memastikan kesemua sembilan saksi pendakwaan memberi keterangan esok.

Pada 16 Januari lalu, Abdul Azeez didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek-projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah antara 8 Disember 2010 dan 10 April 2018.

Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi.

Beliau juga didakwa atas sembilan tuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada empat syarikat di sekitar Lembah Klang, di sini antara tahun 2010 dan 2018.

Kesemua tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda.

Sementara itu, Abdul Latif turut mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda. – MalaysiaGazette