Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi membuat lawatan ke kedai-kedai ketika mengadakan tinjauan mesra di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2020.

PETALING JAYA – Sektor peruncitan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 khususnya sepanjang Mac, April dan Mei lalu dijangka kembali pulih sepenuhnya menjelang suku keempat tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kini terdapat petunjuk-petunjuk yang jelas keadaan itu kembali pulih.

“Data terkini daripada Persatuan Pengurusan Kompleks pada Julai lalu menunjukkan hampir 90 hingga 95 peratus premis peruncitan kembali beroperasi.

“Mengikut data juga sektor peruncitan mencatatkan jumlah pengunjung sehingga 80 peratus,” katanya pada sidang media di Sunway Pyramid, malam ini.

Terdahulu Mustapa bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) mengadakan tinjauan mesra dan sesi libat urus bersama sektor peruncitan di pusat beli-belah Sunway Pyramid.

Tinjauan hari ini bertujuan melihat status terkini pemulihan sektor peruncitan selepas semua sektor ekonomi dibuka pada Jun lalu selaras dengan keputusan mesyuarat EAC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Mustapa mengakui pihaknya didatangi oleh beberapa wakil sektor peruncitan antaranya Persatuan Peruncit Malaysia (MRCA) serta Persatuan Taman Taman Hiburan dan Tarikan Keluarga (MAAFTA) bagi mendapatkan maklum balas mengenai keadaan semasa sektor peruncitan dalam fasa pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

“AEC pertama kali berjumpa dengan persatuan dan persatuan juga menjemput untuk membentangkan isu kepada mesyuarat AEC itu.

“Isu-isu utama yang telah dibentangkan antara lain apabila ada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka pengunjung tiada dan kira-kira 47 hari penutupan sepenuhnya (sektor peruncitan).

“Sekarang ini isu pelancongan sudah tentu adalah satu perkara dan permintaan semakin meningkat dan aduan pula tak banyak isu-isu yang dibangkitkan oleh mereka,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sektor peruncitan bagi barangan pelancongan masih lagi terjejas akibat kekangan jumlah kemasukan pelancong khususnya dari Singapura terhad kepada 2,000 orang berbanding 300,000 orang sehari sebelum PKP.

“Cuma sektor tertentu di mana jualannya masih lagi umpamanya mereka yang terlibat dengan penjualan barang-barang untuk pelancong.

“Bila kita melawat beberapa kedai tadi, berlaku pengurangan ketara kepada penjualan

“Tetapi Adidas, Parkson dan beberapa lagi kita dapati bahawa jualan sudah hampir 80 peratus dan ini tidak ada masalah besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette