Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sambil mengamalkan normal baharu dalam segala aktiviti yang dilakukan pada sambutan sesuatu perayaan termasuk Maal Hijrah, esok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sempena cuti umum ramai yang mungkin merancang untuk pulang ke kampung serta mengambil kesempatan menziarahi saudara-mara dan rakan-rakan.

“Ini termasuk aktiviti merentas negeri serta rancangan untuk mengadakan aktiviti riadah bersama keluarga.

“Namun demikian, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menggesa dan menasihati orang ramai supaya tetap patuh
kepada SOP sambil mengamalkan normal dan kebiasaan baharu dalam segala aktiviti yang bakal dilakukan nanti seperti disyorkan kerajaan.

“Elakkan daripada mengadakan sebarang perhimpunan besar-besaran sempena hari perayaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau turut meminta rakyat supaya terus mengamalkan nasihat-nasihat yang sering ditekankan oleh KKM sebagai satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian antaranya mengelakkan 3S atau 3C iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

Sebaliknya beliau menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan ‘3W’ iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN). – MalaysiaGazette