Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercakap kepada media selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional Tan Sri Annuar Musa menyifatkan sentimen dan pendapat peribadi sebagai satu perkara yang terlalu kecil berbanding fokus untuk memastikan rakyat di Sabah dapat melakukan perubahan sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Meskipun dari sudut etika tindakan Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan 12 bahagian parti  menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap  pemilihan Datuk Bung Moktar Radin mengetuai parti itu dalam PRN negeri berkenaan dilihat Annuar sebagai negatif, namun beliau berkata menganggap ianya normal.

Meskipun akan ada yang tidak berpuas hati namun kata Annuar parti perlu membuat keputusan berdasarkan keperluan dan kebaikan.

“Tapi tidak mengapa kita tidak perlu besarkan. Kita harus bekerjasama selamatkan kepentingan rakyat Sabah itu lebih besar daripada agenda perasaan peribadi, sentimen, dan pendapat peribadi. Itu terlalu kecil.

“Yang paling penting bagaimana nak menjadikan Sabah dan rakyatnya tidak lagi menjadi mangsa dan mainan politik.

“Sabah yang stabil, yang sentiasa bersama dengan kerajaan pusat, Sabah yang mempunyai agenda pembangunan yang lebih rancak saya rasa itu lebih penting,” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis perasmian Sambutan Maal Hijrah 1442H/2020M di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata isu ketidakpuasan hati berkenaan tidak perlu diperbesarkan kerana yang penting  adalah tanggungjawab untuk saling bekerjasama di kalanga pemimpin di semua peringkat termasuklah akar umbi.

Beliau juga yakin perkara ini tidak akan menggoyahkan kerjasama sesama pemimpin dalam parti itu.

“Tidak ada satu pemimpin boleh buat kerja kalau kita tidak beri sokongan dan dokongan dan tudak ada satu keputusan yang semua orang senang hati.

“Pada saya saya ambil secara positif tidak salah menzahirkan rasa tidak berapa setuju walaupun dari segi etika tidak berapa kena sebagai seorang Ahli Majlis Tertinggi.Tapi tidak mengapa kita tidak perlu besarkan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelantikan Bung Mokhtar adalah untuk memudahkan jalinan kerjasama dilakukan di negeri berkenaan menuju pilihan raya negeri tersebut.

Memberi jaminan isu berkenaan akan selesai, Annuar yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan Rahman Dahlan dan sebahagian rakan UMNO dari Sabah hari ini di kediamannya.

Dijangka  turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jadi tidak usah bimbang saya akan selesaikan masalah keresahan saudara Rahman Dahlan dan kawan-kawan.

“Petang ini pun pukul 5 sebahagian mereka  datang rumah saya, saya pun dah order Musang King, dengan kawan-kawan di Sabah, Presiden pun mungkin akan singgah,”tambah beliau.

Terdahulu, Rahman dan 12 bahagian UMNO yang lain tidak berpuas hati dengan pemilihan Bung Mokhtar kerana berpendirian Ahli Parlimen Kinabatangan itu tidak sesuai mengetuai jentera Sabah kerana terpalit dengan kes rasuah di mahkamah yang belum selesai.-MalaysiaGazette

2 Komen

  1. UMNO Sabah kena bersatu padu dan fokus. Lupakan seketika sengketa2 kecil2an lalu!

    InsyaAllah akan ada banyak peluang2 kepimpinan buat pemimpin2 UMNO disana selepas ini!

  2. Aku rasakan tuntutan Rahman & the gang ada asanya. Mereka maukan UMNO menang bergaya di PRN ini dan tidak mau isu2 tersebut menjadi “bebanan” di dalam mereka “berjuang” nanti.

    TAK KAN ITU PUN TAK FAHAM!!!!

    Mana mungkin UMNO boleh diterima oleh rakyat sekiranya ia dipimpin oleh pemimpin2 yg masih dlm tindakan “pembersihan” mahkamah. Amatlah wajar jika mereka berkenan “dirihatkan” sehingga mahkamah membuat keputusan.

    Isu semudah itu pun jadi masalah. Segala yg berlaku sekarang ini adalah disebabkan sikap Wak Jahit yg juga punyai kes mahkamah.

    Dari situ pun natizen dapat memahaminya…..

Comments are closed.