Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua individu yang menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dapatan itu hasil 380 pemeriksaan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejak 24 Julai sehingga 19 Ogos 2020, seramai 14,048 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Kesemua mereka telah ditempatkan di 67 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.

Daripada jumlah itu, seramai 43 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 6,316 individu telah discaj dan dibenarkan pulang.

Mereka telah pulang dari 32 negara iaitu, Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China,
UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

”PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” kata Menteri Kanan Pertahanan itu dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette