Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) parti Bersatu, Syed Saddiq Syed Abd Rahman dan calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mendengar luahan dari seorang warga emas, Rehah Ismail, 76 semasa sesi walkabout pada Program Ziarah Kasih sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Kampung Felda Besout 1, Perak. foto AFFAN FAUZI, 21 OGOS 2020

SLIM RIVER – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang sedang mendaftarkan permohonan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menyasarkan pengundi atas pagar sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Bakal presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, jenteranya akan berusaha menarik golongan pengundi itu kerana percaya undi pada PRK kali ini telah berpecah dua.

Parti mana yang berjaya menawan hati pengundi atas pagar, mereka yang akan memenangi PRK pada 29 Ogos ini, ramal bekas Timbalan Presiden Bersatu itu.

“Itu yang kita harapkan. Kalau boleh saya katakan ibarat pertandingan dua penjuru sahaja walaupun ada lagi seorang lagi calon bebas.

“Berbanding tiga penjuru pada PRU-14 dan Pas pun letak calon dia serta kali ini tiada. Kita berusaha menarik pengundi di atas pagar itu kerana rasa kali ini jumlahnya ramai dan telah berpecah dua.

“Nampaknya siapa yang tawan pengundi atas pagar akan menang berbanding PRU-14 peluang kita lebih. Dengan sokongan kerjasama begitu baik dalam Pakatan Harapan menjamin undi yang dapat ketika PRU-14 ditambah dengan undi atas pagar,” katanya.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata demikian kepada media selepas berkempen dari rumah ke rumah di Felda Gunung Besout 1 hari ini.

Turut hadir, bekas Ketua Armada Nasional Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan calon Bebas dari Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

PRK DUN Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Amir dan calon BN, Mohd. Zaidi, 43, serta seorang lagi calon Bebas, S Santharasekaran, 44.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu yang ketika PRU14 menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), PAS (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu). – MalaysiaGazette

3 Komen

Comments are closed.