Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) memandang serius pendedahan Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri melibatkan beberapa salinan surat membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng dan Tan Sri Tommy Thomas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2018 dan tahun lalu.

Ketua Pemudanya, Shahir Adnan berkata, DPIM menyokong penuh pendedahan oleh menteri berkenaan agar rakyat kenal rupa sebenar Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, slogan Rule of Law oleh pimpinan PH dilihat hanya retorik semata-mata apabila badan perundangan dan kehakiman seolah-olah menerima ‘nasihat’ daripada badan eksekutif.

Pendedahan itu juga menunjukkan Kerajaan 22 bulan PH memandang enteng kepercayaan yang diberikan oleh rakyat pada PRU-14 untuk membebaskan badan perundangan dan kehakiman daripada pengaruh badan eksekutif yang diketuai oleh Perdana Menteri.

“Hari ini, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbukti lebih telus apabila Perdana Menteri sekarang tidak masuk campur kes-kes berprofil tinggi seperti kes SRC yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

”Pendekatan Kerajaan PN menunjukkan Badan Perundangan dan Kehakiman sekarang di bawah Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara yang baru, menjalankan tugas tanpa pilih kasih atau takut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, DPIM menggesa pihak SPRM untuk menyiasat pendedahan ini agar keadilan dapat dilaksanakan secara telus kerana negara ini memerlukan transformasi sistem perundangan dan kehakiman agar tiada lagi isu salah guna kuasa di peringkat kepimpinan tertinggi negara.

“Jangan menuduh seseorang itu penyangak atau penyamun, tetapi mereka sendiri adalah korup kuasa,” katanya. – MalaysiaGazette