Wednesday, May 1, 2024
Home Nasional MAQIS Pulau Pinang rampas lemak babi untuk buat biskut

MAQIS Pulau Pinang rampas lemak babi untuk buat biskut

Pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang mendapati tiada nama dan alamat loji dinyatakan pada label pembungkusan tersebut.

BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang, merampas 16,200 kilogram (kg) lemak babi bernilai RM110,456.37 yang dibawa masuk daripada Belanda kerana tidak mematuhi syarat import, dalam pemeriksaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini pada Isnin.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, pemeriksaan pihaknya pada 9 malam mendapati sebuah kontena yang membawa lemak babi itu, tidak mematuhi syarat import yang ditetapkan oleh MAQIS.

“Berikutan itu, kami merampas semua 1,620 bekas mengandungi lemak babi dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011, iaitu  pengimportan atau pengeksportan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian atau mikroorganisma, hendaklah mematuhi syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan, atau syarat eksport, sebagaimana yang dinyatakan dalam permit atau lesen.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dipetik Bernama.

Katanya, pihak MAQIS sentiasa bersedia untuk melakukan tugasan di semua pintu masuk negara, bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian dan ikan yang masuk atau keluar dari negara ini, mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan, bagi memastikan keselamatan makanan terjamin serta selamat di negara ini.

Sementara itu, jurucakap MAQIS berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati tiada nama dan alamat loji dinyatakan pada label pembungkusan tersebut.
“Siasatan mendapati lemak babi itu dibawa masuk ke negara ini dipercayai untuk bahan pembuatan biskut,” katanya dalam kenyataan. – MalaysiaGazette