Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Perkhidmatan feri di Pulau Pinang, Rapid Ferry, tergendala mulai hari ini hingga 26 Ogos ini, berikutan masalah teknikal pada enjin, menurut Ketua Rapid Ferry, Osman Amir.

Osman dalam kenyataan di sini hari ini berkata, penangguhan perkhidmatan feri itu disebabkan masalah teknikal pada empat buah feri yang beroperasi dari Pangkalan Raja Tun Uda, di sini ke Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth, bagi perjalanan pergi dan balik.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya menyediakan 10 buah bas percuma dengan frekuensi 10 hingga 20 minit, untuk membawa penumpang dari Penang Sentral, Butterworth ke Terminal Weld Quay, George Town bermula dari pukul 6 pagi hingga 11 malam dari Penang Sentral, manakala dari Terminal Weld Quay bermula dari 7.10 pagi hingga 11 malam.

“Bagi pihak Rapid Ferry, saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan. Jika ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Rapid Ferry di laman Facebook @rapid ferry,” katanya. – Bernama