Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Polis menahan 81 individu termasuk enam Pendatang asing tanpa izin (Pati) kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi pematuhan di ibu negara, semalam.

Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan antaranya, gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk pelanggan dan tidak memakai pelitup muka.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka juga melanggar SOP PKPP seperti aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal, premis beroperasi lebih masa dan tangkapan Pati.

Dari jumlah itu, katanya, 59 individu telah dikenakan kompaun, manakala 22 individu lagi direman untuk siasatan.

Dalam operasi pematuhan di seluruh negara semalam, pasukan khas yang diketuai polis telah membuat 68,310 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

Ujarnya, sebanyak 4,881 pasukan pematuhan melibatkan 16,827 anggota telah membuat pemantauan di 3,962 pasar raya; 5,269 restoran; serta 1,337 penjaja; 1,671 kilang; 3,713 bank; dan 1,073 pejabat kerajaan.

“Turut dipantau ialah 1,183 terminal pengangkutan darat, 240 terminal pengangkutan air serta 114 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai operasi benteng, Ismail Sabri berkata, polis telah mengadakan 62 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 28,481 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pati, terutama di lorong tikus dan turut menahan empat warga asing atas kesalahan Imigresen.

Tegas beliau, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus.

Behubung kuarantin wajib di stesen kuarantin, katanya sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 17,037 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Kata beliau, mereka kini ditempatkan di 65 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.

“Dari jumlah itu, 7,419 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 56 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 9,562 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Mereka pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand & Amerika Syarikat.

“Semalam, polis telah mengadakan 298 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan semua individu yang dikuarantin telah mematuhi SOP ditetapkan.

“Polis bersama petugas Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu tebabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya. – MalaysiaGazette