Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ‘panas telinga’ apabila Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim menunjukkan bukti ada pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak memakai topi keledar ketika turun padang bertemu rakyat.

Ia bermula apabila Ahli Parlimen Seremban bangun mencelah ketika Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020.

Azeez kemudiannya bangun dan mendakwa beliau mempunyai 10 gambar pemimpin PH yang tidak memakai topi keledar.

“Setelah Seremban (Anthony) bangkitkan isu tadi, saya dapat maklumat lebih daripada 10 gambar pemimpin pembangkang termasuk Ketua Pembangkang dan sebagainya, saya akan serahkan kepada YB.

“Ini kita tidak ambil tindakan, ini rakyat yang hantar kepada kita minta pembangkang jangan tuduh orang lain, sampai bila pun tak selesai. Apapun saya akan bagi,” katanya kepada Anthony.

Kata-kata itu membuatkan Anthony terdiam dan menggesa agar kerajaan turut mengambil tindakan terhadap mereka.

“Hantar semua termasuk Ketua Pembangkang, saman semua,” katanya ringkas.

Terdahulu, Ka Siong turut menyeru agar semua ahli Parlimen di negara ini memakai topi keledar ketika turun padang berjumpa dengan rakyat yang pada masa sama mencerminkan contoh terbaik pemimpin kepada rakyat.

Menurutnya, dirinya memberi jaminan tiada pemimpin dan ahli-ahli Parlimen yang akan terlepas jika pihaknya mempunyai bukti dan siasatan terperinci akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sekiranya Yang Berhormat nak kemukakan bukti ada, saya akan minta JPJ jalankan siasatan mengikut prosedur ini tetapi notis 114 dikeluarkan bergantung pada bukti yang kukuh dan akan serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan tidak kira kerajaan atau pembangkang,” katanya. – MalaysiaGazette