Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Perbicaraan rasuah melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terpaksa ditangguhkan hari ini gara-gara saksi utamanya sakit dan tidak dapat memberi keterangan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan kepada prosiding yang sepatunya masuk hari ke-39 kepada Jumaat pagi.

Menurut ihak pendakwaan, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, saksi tersebut Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang juga merupakan bekas Setiausaha kepada Ahmad Zahid hanya memberitahu dirinya telah diberikan sijil cuti sakit melalui Whatsapp.

Kata Ahmad Sazilee, pihaknya telah menyerahkan salinan gambar cuti sakit  kepada mahkamah dengan berjanji untuk menyerahkan salinan asal (cuti sakit) kepada mahkamah pada Jumaat ini.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan tidak membantah penangguhan perbicaraan kes itu.

Semalam, Mazlina yang juga saksi ke-90 mendedahkan dirinya berhenti menggunakan cop tandatangan tertuduh selepas kes tersebut mula di siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelas Mazlina, cop tandatangan milik Ahmad Zahid itu digunakan pada cek-cek Yayasan Akalbudi bagi pembayaran kad kredit peribadinya.

Dakwa Mazlina, dia hanya menggunakan cop tandatangan itu selepas mendapat kebenaran Ahmad Zahid bagi urusan pembayaran bil-bil tersebut pada 2014.

Bagaimanapun kata Mazlina, Ahmad Zahid kemudian memintanya untuk tidak lagi menggunakan  cop tandatangan itu sekitar 2016 kerana SPRM sedang menyiasat kes tersebut.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO ketika ini sedang berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. –MalaysiaGazette