Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menyiapkan sepenuhnya cadangan pelaksanaan gelembung perjalanan beserta prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi sebelum ia diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cadangan dan SOP itu dijangka siap pada minggu depan.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan TV/Video Promo Kempen ‘Cuti-cuti Malaysia’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, beliau berkata, cadangan tersebut disiapkan kementeriannya dengan mempertimbangkan beberapa perkembangan semasa termasuklah negara-negara yang sebelum ini selamat untuk dikunjungi tetapi kini berhadapan dengan gelombang kedua wabak Covid-19.

“Sejak dua bulan ini MOTAC adakan kajian tentang SOP. Kami melihat perkembangan semasa negara luar, perhatikan sebelum mengenal pasti negara-negara yang sesuai untuk dimasukkan dalam senarai gelembung perjalanan,” tambahnya.

Untuk itu, MOTAC bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Luar dan sentiasa berkomunikasi dengan kedutaan beberapa negara sebagai medium untuk mendapatkan informasi tambahan.

Nancy sebelum ini berkata, MOTAC menjalankan kajian untuk membenarkan gelembung perjalanan secara langsung ke wilayah berstatus hijau dan bukan lagi tertumpu negara tertentu secara keseluruhan dalam usaha menghidupkan semula pelancongan antarabangsa.

Ini kerana, terdapat wilayah tertentu yang didapati terjejas dengan penularan Covid-19.- MalaysiaGazette