Kerajaan Gagal criticise government Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membenarkan kemasukan ahli bukan Melayu mampu menjadikan parti itu satu gabungan besar di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu boleh diterjemahkan seperti mana yang berlaku di dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini.

Katanya, di dalam Kabinet juga terdapat menteri yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India serta Sabah dan Sarawak.

“Saya fikir menerusi semangat nasional ini, ia boleh dijadikan platform untuk semua rakyat Malaysia, orang Melayu dan bumiputera dan orang bukan Melayu menjadi ahli dalam Perikatan Nasional.

“Macam kita lihat dalam PN, dalam Kabinet sekarang ini, kita ada Melayu, Cina, India, ada Sabah dan kaum Sarawak.

“Kita bercakap pasal gabungan besar di Malaysia. Kita kena masukkan semua etnik semua latar belakang agama dan bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media berhubung pembukaan keahlian Bersatu kepada bukan Melayu sedangkan konsep parti itu sama dengan PKR yang ditinggalkannya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beliau sangat berterima kasih terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memberi ruang kepada beliau dan rakannya termasuk, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin untuk menyertai Bersatu.

Terdahulu beliau menyaksikan  Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kandungan Digital (DKD), Cek Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) – Universiti Teknologi Mara (UiTM) – Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) di sini hari ini.

Pada majlis itu sebanyak 37 buah syarikat produksi dan 16 individi menerima dana mikro menerusi serahan surat tawaran yang berjumlah RM7.9 juta.

Majlis turut dihadiri Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Nadzri. – MalaysiaGazette