Raja Salman

RIYADH – Pendakwa raya Arab Saudi diarah menyemak semula hukuman mati terhadap tiga individu bawah umur yang melakukan jenayah termasuk kes membabitkan anak saudara seorang ulama Syiah yang telah mencetuskan demonstrasi di Arab Saudi dan Iran.

Ali al-Nimr, anak saudara Sheikh Nimr al-Nimr; Dawoud al-Marhoon dan Abdullah al-Zaher, dijatuhi hukuman mati pada tahun 2016 kerana terlibat dalam jenayah berkaitan keganasan.

Ketika itu mereka belum mencecah usia 18 tahun.

Dikri yang dikeluarkan oleh Raja Salman pada bulan April lalu memaklumkan kerajaan tidak lagi menjatuhkan hukuman mati kepada individu yang melakukan jenayah ketika masih bawah umur.

Arahan itu turut menyatakan hukuman mati tidak lagi dijatuhkan kepada mereka yang disabitkan ketika pesalah masih di bawah umur.

“Semakan ini menandakan kemajuan dalam pelaksanaan reformasi penting sistem perundangan dan hak asasi manusia di Arab Saudi,” kata Awwad Alawwad, Presiden Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Arab Saudi.

Undang-undang Arab Saudi menetapkan hukuman maksimum bagi sesiapa yang disabitkan jenayah ketika bawah umur adalah 10 tahun harus dijatuhkan hukuman dalam tahanan remaja.

Keputusan kerajaan mengatakan kanak-kanak di bawah umur yang telah menjalani hukuman 10 tahun atau lebih, akan dibebaskan setelah disemak semula kes mereka.

Kedua-dua Nimr dan Marhoon berusia 17 tahun ketika mereka ditahan pada tahun 2012.

Zaher pula berusia 15 tahun ketika dia ditangkap pada tahun 2011.

Rekod hak asasi Arab Saudi telah mendapat perhatian antarabangsa setelah pembunuhan seorang wartawan Arab Saudi pada tahun 2018.

Arab Saudi menjadi negara terbesar melaksanakan hukuman mati selepas Iran dan China, menurut laporan tahunan Amnesty International.

Sebanyak 184 orang dihukum bunuh pada tahun lalu, termasuk sekurang-kurangnya seorang didakwa kerana terlibat dalam jenayah ringan. – MalaysiaGazette