KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan mencatatkan negatif 3.5 peratus pada bulan Julai 2020 kepada 100.7 berbanding 104.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Berdasarkan 1,063 item yang diliputi dalam IHPR, 39.0 peratus item mencatatkan kenaikan harga pada bulan Julai 2020.

Sementara itu, 54.0 peratus item menunjukkan penyusutan harga manakala 7.0 peratus item tidak berubah.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kemerosotan IHPR pengeluaran tempatan pada bulan Julai 2020 adalah lebih kecil berbanding kejatuhan pada dua bulan sebelumnya, kesan daripada harga minyak yang masih rendah menyebabkan indeks Perlombongan masih dalam fasa negatif iaitu sebanyak 37.0 peratus.

Indeks Pembuatan dan Bekalan Elektrik & Gas turut merekodkan penurunan masing-masing sebanyak 1.3 peratus.

Sementara itu, Indeks Bekalan Air jatuh 0.6 peratus.

Walau bagaimanapun, indeks Pertanian, perhutanan & perikanan meningkat 14.6 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan kenaikan marginal 0.4 peratus pada Julai 202, disokong oleh peningkatan Indeks Perlombongan 8.3 peratus, Pertanian, perhutanan & perikanan 0.9 peratus dan Bekalan Air 0.2 peratus.

Namun begitu, indeks Bekalan Elektrik & Gas dan Pembuatan masing-masing merekodkan penurunan 0.5 peratus dan 0.2 peratus. IHPR pengeluaran tempatan bagi tempoh Januari-Julai 2020 mencatatkan penurunan 2.3 peratus berbanding -2.2 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast