KUALA LUMPUR – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dipercayai beredar senyap-senyap dan enggan ditemui media selepas memberi keterangan di Bukit Aman, malam ini.

Kenderaan BMW 7 Series berwarna hitam yang dipercayai membawa Mohd Khairuddin ke Bukit Aman tidak lagi kelihatan di parkir Masjid Bukit Aman, kira-kira jam 10 malam tadi.

Terdahulu Ahli Jawatankuasa Pusat PAS itu diminta hadir ke Bukit Aman kira-kira jam 8 malam tadi bagi membantu siasatan isu pelanggaran kuarantin selepas beliau pulang dari Turki, bulan lalu.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menjadi tumpuan Selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendedahkan beliau tidak mematuhi perintah kuarantin selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Menurut Teresa, Mohd Khairuddin hadir di Dewan Rakyat pada 13 Julai dan ikut terlibat dalam mesyuarat serta pertemuan dalam tempoh kuarantin 14 hari yang mana menteri itu sepatutnya berada di rumah.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin dikompaun oleh Kementerian Kesihatan sebanyak RM1,000 atas kesalahan melanggar perintah kuarantin.

Mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342), kerajaan mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warganegara dan warga asing menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan Covid-19. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.