Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dipanggil ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan, malam ini.

MalaysiaGazette dimaklumkan Ahli Jawatankuasa Pusat Pas itu diminta hadir ke Bukit Aman kira-kira jam 8 malam tadi bagi membantu siasatan isu pelanggaran kuarantin selepas beliau pulang dari Turki, bulan lalu.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menjadi tumpuan Selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendedahkan beliau tidak mematuhi perintah kuarantin selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Menurut Teresa, Mohd Khairuddin hadir di Dewan Rakyat pada 13 Julai dan ikut terlibat dalam mesyuarat serta pertemuan dalam tempoh kuarantin 14 hari yang mana menteri itu sepatutnya berada di rumah.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin dikompaun oleh Kementerian Kesihatan sebanyak RM1,000 atas kesalahan melanggar perintah kuarantin.

Mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342), kerajaan mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warganegara dan warga asing menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan COVID-19.

Semalam polis memberitahu pihaknya telah mengambil keterangan Khairudidin di bangunan Parlimen.

Artikel berkaitan: Polis ambil keterangan Mohd Khairuddin di Parlimen

– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast