Luqman Hakim Shamsudin

KUALA LUMPUR – Berita gembira datang dari Belgium apabila penyerang skuad B-19 tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin menjaringkan gol pertama bagi kelab barunya, KV Kortrijk.

Luqman beraksi dalam perlawanan bersama skuad B-21 tahun Kortrijk ketika pasukan itu berdepan KRC Gent yang menyaksikan Kortrijk tewas dengan keputusan 1-4.

Gol tunggal Kortrijk dijaringkan oleh Luqman selepas dia berjaya mencuri bola daripada pertahanan lawan sekaligus melepaskan rembatan deras menewaskan penjaga gol Gent.

Meskipun tewas, kejayaan anak kelahiran Kelantan menjaringkan gol pada perlawanan pertama beliau bersama kelab tersebut memberi impak serta-merta kepada pemain itu.

Ini menunjukkan Luqman telah dapat mengadaptasi dengan baik corak permainan pengendali pasukan yang merupakan permulaan baik bagi Luqman yang berusia 18 tahun. – MalaysiaGazette