Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan meminda notis usul melucut hak harta rampasan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Selain Najib dan Rosmah, ada 16 lagi responden lain dalam kes ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Pendakwa Raya meminda notis usul dan membetulkan tiga afidavit sokongan yang diikrarkan bagi menyokong permohonan melucut hak harta berkenaan.

Keputusan itu juga dibuat selepas kesemua 18 responden tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap pindaan lucut hak itu oleh pihak pendakwaan.

Mohamed Zaini turut menetapkan 4 September bagi pengurusan kes untuk mendapatkan perintah mewartakan notis kepada pihak ketiga yang baharu.

Pendakwa Raya juga memohon untuk melakukan pindaan berikutan terdapat kesilapan pada nombor akaun bank, cawangan bank, nama serta jenis akaun.

Selain itu juga ada pindaan berkaitan tarikh sitaan serta afidavit sokongan yang difailkan sebelum ini.

Harta dirampas daripada 18 pihak itu antaranya ratusan beg tangan pelbagai jenama termasuk wang tunai, jam tangan dan 27 kereta serta beberapa hartanah.

Antara barangan disita ialah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama, wang tunai berjumlah RM537,000; £2,700; 2,870,000 rupee Sri Lanka; wang ringgit lama, RM187,750; £320,500; 13,177,00 rupiah; AS$100; 376 hryvnies (Ukraine); €20; 50 franc Perancis; 10 rand Afrika Selatan; S$40; 531 riyal; 740 peso Filipina dan RM21,150 (wang baharu) yang disita pada 17 Mei 2018 oleh pihak polis.

Barangan lain yang disita pada tarikh sama ialah empat utas jam tangan pelbagai jenama; beg tangan pelbagai saiz dan jenama (empat); beg tangan pelbagai jenama (167) dan kasut pelbagai jenama (27) serta beg tangan pelbagai jenama (40).

Harta lain ialah 27 kereta jenis Nissan Urvan disita pada 2 Ogos 2018, selain beberapa bidang tanah dan aset lain.

Dalam notis usul itu, Pendakwa Raya menamakan Najib; Rosmah; anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz dan anak pasangan itu, Nor Ashman Razak serta Nooryana Najwa sebagai responden pertama hingga kelima.

Responden lain ialah Mohd Kyizzad Mesran; Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan; Yayasan Rakyat 1Malaysia; Yayasan Semesta; Yayasan Mustika Kasih; Rembulan Kembara Sdn Bhd; ibu kepada Jho Low, Goh Gaik Ewe; bekas pegawai bank Goldman Sachs, Ng Chong Hwa; isterinya, Lim Hwee Bin; Kee Kok Thiam; Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Kalau hidup 200 tahun sekalipun tidak akan mampu membeli barangan semahal itu , tidak tahulah jika di rumah ada mesin cop duit.,harap jangan bagi alasan duit dari amalan berjimat-cermat dan menabong hahahaha

Comments are closed.