Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bimbang pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 yang dibentangkan baru-baru ini tidak merangkumi intipati Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 serta syor-syor Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 2005.

Dalam satu kenyataan di sini, Suhakam berkata, ia khuatir kurangnya kebebasan dan kelemahan fungsi IPCC kerana tidak diberikan kuasa tatatertib bagi menangani salah laku polis.

Setiausaha IPCC akan dilantik oleh Menteri Dalam Negeri dan pegawai-pegawai IPCC juga dilantik secara pinjaman dari mana-mana agensi kerajaan untuk menjadi pegawai penyiasat.

Tambahan pula, penurunan kuasa IPCC kepada mana-mana anggota pasukan polis boleh membawa kepada isu konflik kepentingan daripada aspek fungsi yang dinyatakan dalam RUU serta kebebasan IPCC.

Sebelum ini, pelbagai pihak berkepentingan termasuk Suhakam dan organisasi masyarakat sivil telah mengemukakan banyak syor-syor kepada Kerajaan dengan harapan untuk meningkatkan akauntabiliti pasukan polis dan mempromosi tadbir urus yang baik di negara ini.

”Walau bagaimanapun, ini tidak direalisasikan di dalam RUU IPCC,” katanya.

Oleh itu, Suhakam menegaskan supaya penubuhan badan bebas bagi meningkatkan akauntabiliti pasukan polis dan menyediakan sistem semak dan imbang sebagai mekanisme pengawasan.

”Memandangkan RUU ini akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen hari ini, Suhakam berharap agar Ahli Parlimen akan meneliti dan menambah baik RUU ini agar harapan rakyat untuk penubuhan badan bebas bagi meningkatkan akauntabiliti polis tercapai,” katanya. – MalaysiaGazette