Datuk Seri Najib Razak bersama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan perbicaraan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Selain bekas Perdana Menteri, peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga turut mengemukakan pengguguran terhadap Gopal.

Najib dan Muhammad Shafee memfailkan semakan kehakiman secara berasingan pada Disember tahun lalu dengan menamakan Peguam Negara atau Pendakwa Raya, kerajaan Malaysia dan Gopal selaku responden.

Gopal Sri Ram

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan menolak permohonan tersebut selepas mendapati tiada sebarang bukti bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tersalah arah dalam melantik Gopal sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan.

Mariana juga membuat keputusan Tommy tidak bertindak melangkaui tugas perlembagaannya, dengan itu pelantikan Sri Ram adalah sah mengikut Seksyen 376(3) Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Najib dan Muhammad Shafee memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan mengatakan surat pelantikannya tidak sah.

Selain itu, mereka juga memohon perisytiharan terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan Gopal dan memohon suatu perintah untuk melarang Gopal daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes mereka.

Antara kes itu termasuk berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang sedang di hadapi ketika ini.

Sebelum ini, 7 Ogos lalu, panel tujuh anggota hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk menggugurkan Gopal daripada mengetuai pendakwaan dalam kes perbicaraan 1MDB. -MalaysiaGazette