Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan, langkah kerajaan Sabah memanjangkan tempoh pajakan tanah dari 99 tahun kepada 999 tahun dibuat mengikut polisi kerajaan.

Ketua Menteri Sabah itu berkata, walaupun ada kes sedang dibicarakan, kerajaan negeri boleh membuat rayuan atau melawannya di mahkamah.

“Saya hendak menjawab tuduhan sesetengah pemimpin politik yang mendakwa langkah kerajaan Sabah memanjangkan tempoh pajakan tanah kepada 999 tahun disebabkan ada kes mahkamah yang sedang berjalan.

“Untuk makluman, keputusan itu adalah atas polisi kerajaan sama ada mahu melaksanakannya atau tidak, justeru tiada kena mengena kes itu di mahkamah itu.

“Hakikatnya, dasar kerajaan terdahulu ialah tempoh pajakan hanya 99 tahun, justeru Kabinet Sabah berbincang dan bersetuju memanjangkan tempoh itu untuk membantu pemaju serta rakyat dalam pemilikan hartanah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Di Nabawan malam, Mohd Shafie mengumumkan rancangan kerajaan negeri untuk mengembalikan pajakan selama 999 tahun.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan Kabinet Sabah itu selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Mac lalu, bahawa syarat yang ditetapkan Jabatan Tanah dan Ukur untuk mengurangkan tempoh pajakan daripada 999 tahun kepada 99 tahun untuk kelulusan pembangunan dan pembahagian adalah menyalahi undang-undang.

Mengulas lanjut, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, beliau berbuat demikian kerana mahu membantu kontraktor.

“Saya bincang dalam Kabinet (Sabah), ada kes mahkamah, saya tahu kes mahkamah. Kita boleh rayu lawan mahkamah, tapi saya tahu saya perlu tolong kawan-kawan kontraktor.

“Saya cakap cukup dengan 99 tahun, saya mahu berikan kepada pemaju kita 999 tahun. Bila saya bagi ini (ada yang tuduh saya) Ketua Menteri hipokrit, ini mahkamah punya keputusan,” katanya.

Beliau berkata, polisi kerajaan sebelum ini adalah pajakan 99 tahun, tetapi tukar kepada 999 tahun bukan oleh pemajak atau mahkamah, tetapi kerajaan negeri dalam Kabinet.

Kata Mohd Shafie, keputusan memanjangkan tempoh pajakan itu disambut baik bukan sahaja oleh golongan pemaju, tetapi rakyat sendiri dalam pemilikan hartanah.

“Bagaimanapun, pemimpin pembangkang yang melihat sambutan baik terhadap dasar itu kemudiannya memainkan propaganda, kononnya tambahan tempoh pajakan kepada 999 tahun disebabkan ada kes mahkamah terhadap tempoh 99 tahun yang dilaksanakan sebelum ini.

“Apa yang penting adalah rakyat secara keseluruhan mendapat manfaat daripada perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.