Joe Biden. foto Agensi

WASHINGTON – President Donald Trump bersedia untuk menyerang pencabarnya Joe Biden di hadapan para penyokong di South Lawn, White House pada Khamis ketika Amerika Syarikat sedang bergelut menyelesaikan pandemik koronavirus dan protes anti-rasisme.

Trump dijangka menyampaikan ucapan dengan mengatakan kemenangan Biden hanya akan memburukkan lagi krisis yang sedang melanda negara tersebut, lapor Reuters.

“Para pengundi terpaksa membuat pilihan yang tepat di antara dua parti, dua visi, dua falasafah atau dua agenda dalam sekelip mata,” itu antara ucapan yang dijangka disampaikan Trump, mengikut petikan yang disediakan kepada Reuters sebelum acara malam ini.

“Kita telah menghabiskan masa selama empat tahun untuk membaiki semula kerosakan yang telah dilakukan oleh Joe Biden selama 47 tahun,” katanya yang merujuk kepada karier Biden sebagai senator dan Naib Presiden.

Biden pula dalam satu majlis mencari dana, menuduh Trump menggunakan kekerasan sebagai “strategi politik” dan bukannya mahu menyelesaikan isu tersebut.

Demokrat secara rasmi mencalonkan Biden dalam konvensyen minggu lepas.

“Donald Trump tidak habis-habis mengatakan Amerika cara Joe Biden adalah tidak selamat?

“Buktinya? Kekerasan yang anda lihat adalah di bawah pentadbiran Donald Trump. Itu adalah Amerika cara Donald Trump. Apakah mereka lupa siapa Presiden?” katanya. – Agensi