KUALA LUMPUR – Momentum pertumbuhan ekonomi digital Malaysia dijangka akan berterusan selepas lebih banyak jenama serta perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendigitalkan operasi mereka, kata platform e-dagang yang terkemuka, Lazada.

Pada masa yang sama juga, keyakinan pembeli untuk membuat urus niaga dalam talian turut bertambah.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Leo Chow berkata, cara pengguna membeli dan membayar telah banyak berubah, khususnya selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

“Rakyat Malaysia dilhat semakin yakin dengan kemajuan teknologi dalam penyelesaian pembayaran kerana mereka amat pantas menerima serta mengiktiraf faedah menggunakan penyelesaian pembayaran digital,” katanya kepada Bernama, sambil menambah pandemik Covid-19 telah mempercepatkan penggunaan digital di kalangan pengguna, penjual, jenama dan peruncit.

Bilangan penjual baharu di Lazada turut meningkat lebih daripada 200 peratus pada separuh pertama tahun ini, dan menyatakan bahawa rakyat Malaysia sentiasa mencari penyelesaian dalam talian untuk keperluan seharian mereka.

Menurut beliau, satu kajian yang dibuat oleh penyedia penyelesaian penyelidikan pasaran iaitu Vodus baru-baru ini, mendapati separuh daripada penduduk dewasa Malaysia telah berbelanja untuk barangan bukan makanan secara dalam talian semasa PKP.

Di kalangan pembeli dalam talian, 35 peratus daripada mereka mengaku hanya memulakan urus niaga untuk kali pertama selepas PKP bermula, yang mencerminkan kepada pertumbuhan 53 peratus dalam populasi pembeli dalam talian Malaysia, kata Chow.

Dengan lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup digital, Lazada juga melihat penyelesaian pembayaran digitalnya, Lazada Wallet, menjadi pilihan kaedah pembayaran yang paling digemari di platform itu.

“Semasa acara 7.7 Mid-Year Super Sale, kami melihat hampir 40 peratus peningkatan dalam kadar pengambilan Lazada Wallet dari tahun ke tahun, dan hari ini, satu dalam tiga pelanggan Lazada Malaysia memilih Lazada Wallet untuk transaksi mereka,” katanya.

Pembayaran digital adalah lebih selamat, selain, lebih cekap dan kos efektif memandangkan pembeli dan penjual tidak lagi perlu mengendalikan wang fizikal atau pergi ke bank bagi mendepositkan atau mengeluarkan wang.

“Semua transaksi dilakukan secara dalam talian atau maya,” katanya, sambil menambah pembayaran digital bersifat hampir serta-merta dan tidak dibatasi geografi.

Pengguna mengakui pembayaran tanpa tunai mengurangkan kerumitan untuk pergi ke mesin juruwang automatik (ATM) bagi pengeluaran ringgit, menghapuskan beban menyimpan tunai, syiling dan menjadikan penjejakan pembelian lebih mudah dan telus.

“Ia juga jelas bahawa peniaga sudah mula bertindak balas terhadap tingkah laku ini dengan meningkatkan jejak penerimaan digital mereka,” katanya.

Dalam keadaan kecemasan yang membawa kepada kejutan seperti krisis COVID-19, kecepatan dan penghantaran yang tepat pada masanya memainkan intipati yang signifikan.

Bayaran digital atau kiriman wang dari luar negara dan bantuan kerajaan boleh dibuat dengan lebih pantas.

“Kami memuji usaha kerajaan yang bertindak mempercepatkan pemindahan negara ke arah pembayaran elektronik (e-pembayaran) seperti kadar penggunaan e-dompet,” tambahnya.

Faktor-faktor yang besar seperti keselamatan turut diambil kira, kata Chow.

Sering kali, penerima bayaran tunai perlu berjalan dalam jarak tertentu untuk menerima bayaran mereka, ini mendedahkan individu tersebut kepada ancaman jenayah.

Sebaliknya, pembayaran digital hari ini dijamin dengan teknologi canggih, seperti penyulitan secara menyeluruh, tokenisasi, kata laluan, biometrik, pengesahan di luar jalur, kata laluan satu kali (OTP) melalui SMS serta soalan keselamatan.

Chow berkata, pembayaran mudah alih juga telah berkembang dari perkhidmatan yang ceruk sehingga kepada yang paling utama bagi pengguna digital dalam hanya beberapa tahun sahaja.

“Oleh kerana peningkatan permintaan pelanggan untuk pengalaman daftar keluar yang lebih lancar dan bayaran balik yang lebih mudah apabila membeli-belah dalam talian, kami melancarkan Lazada Wallet pada 2018 sebagai cara terkini untuk pembeli membuat pembayaran dalam talian mereka di Lazada, ia juga  menawarkan bayaran satu klik dan diskaun eksklusif,” katanya.

Lazada Wallet yang diperkasakan oleh Alipay.com, memanfaatkan teknologi pembayaran e-dagang yang terkemuka seperti pemprosesan pembayaran dan perkhidmatan pengurusan penipuan, ini memenuhi keperluan yang digariskan oleh Bank Negara Malaysia termasuk ujian penembusan penuh serta penyulitan hujung ke hujung.

Memandangkan kerajaan terus menyokong dan menumpukan usaha bagi membina infrastruktur ekonomi digital negara melalui pelbagai inisiatif seperti pembentukan pakatan awam dan swasta yang lebih baik untuk memacu agenda negara ini, Malaysia bersedia untuk menampilkan kemajuan negara apabila ia beralih kepada kuasa ekonomi digital di rantau ini, kata Chow lagi. – MalaysiaGazette