Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pihak polis tidak menyembunyikan apa-apa kes dan telah menjalankan siasatan dalam tempoh yang ditetapkan, termasuk kes gangguan seksual yang membabitkan seorang pensyarah kanan ke atas seorang pelajar perempuan universiti awam pada Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulniam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, tindakan dalaman pihak universiti di Kuala Lumpur telah diambil dalam kejadian gangguan seksual itu.

Ujar beliau, mangsa yang berusia 23 tahun telah membuat laporan polis pada 15 Julai lalu.

“Pada 1 Julai lalu, mangsa telah membuat aduan kepada pihak universiti awam berkenaan untuk mengambil tindakan dan kemudiannya telah membuat laporan polis pada 15 Julai lalu sebelum polis Bahagian D11 JSJ Ibu Pejabat Kuala Lumpur telah menyiasat kes ini di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

“Setelah siasatan selesai pada 13 Ogos lalu, kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwaraya, Jabatan Peguam Negara yang mana setelah diteliti segala keterangan yang ada dalam kes ini, maka beliau telah memutuskan tiada pertuduhan terhadap suspek.

“Beliau berkeputusan demikian dengan mengambilkira pihak Universiti Malaya telah mengambil tindakan dalaman terhadap suspek itu dan mangsa juga telah dimaklumkan keputusan kes sebaik sahaja mendapat keputusan serta arahan daripada pihak Pejabat Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dalam kes berkenan, pihak polis tidak sesekali menyembunyikan apa-apa kes dan telah menjalankan siasatan dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurut Zairulniam, polis Brickfields akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan serta melanggar undang-undang dan mereka akan dikenakan tindakan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian +60 3 2297 9222 atau mana–mana Balai Polis berdekatan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ehh ni kes jenayah…Kanun Keseksaan ni…Universiti ada kuasa ke untuk mengadili & menghukum kes jenayah? patutnya universiti serahkan kpd polis dan diadili di mahkamah…mahkamah yg tentukan hukum..bukan universiti…pelik laaa

Comments are closed.