Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) bersiap siaga menghadapi kemungkinan pertambahan kes COVID-19 dari luar negara dalam tempoh empat bulan akan datang apabila musim sejuk melanda negara-negara yang berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun jangkitan di dalam negara masih terkawal, berdasarkan pemantauan kes COVID-19 di negara-negara seperti India, Korea Selatan, Jepun, Sepanyol dan Perancis sekarang menunjukkan peningkatan seiring penurunan suhu di negara-negara terbabit.

“Jadi kebimbangan kita ialah apabila (tiba) musim sejuk, kes akan bertambah dan kita perlu membuat kesiapsiagaan,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2020 di Dataran Pahlawan Negara, di sini hari ini.

Pada masa yang sama, beliau berkata, virus COVID-19  didapati telah bermutasi dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Dr. Noor Hisham berkata, bagi memastikan penularan terkawal, KKM melaksanakan kaedah kesihatan awam yang menuntut orang ramai mematuhi prosedur operasi standard, sementara KKM pula bersiap siaga dari segi penyediaan kemudahan.

Katanya, kaedah itu juga membantu Malaysia mengenal pasti kluster dengan cepat.

“Bagaimanapun kita masih lagi perlu kerjasama semua rakyat untuk sama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini,” katanya. – Bernama

1 Komen

  1. Insyaallah dalam negara boleh diputuskan, yang menjadi masalah pembawa virus dari luar negara, harap dapat ikut cara thailand. Syarikat kapal terbang pula janganlah sentiasa tekan kerajaan untuk membuka pintu sempadan.

Comments are closed.