pegawai AADk cuba memujuk kanak-kanak yang memegang erat kaki emaknya yang ditahan kerana kesalahan dadah dala m Op Ambang Merdeka di Damansara tengah malam tadi.foto MalaysiaGazette

PETALING JAYA – “Jangan bawa emak saya, lepaskan dia. Saya tak nak lepaskan. Jangan..jangan”.

Itu tangisan dan rayuan dua anak kecil apabila ibunya ditahan polis di rumahnya atas kesalahan mengambil dadah jenis methaphetamine atau syabu.

Kedua-dua kanak-kanak itu memegang erat kaki ibu mereka selepas pegawai wanita dari Agesi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) membawa keluar wanita itu dari kediamannya di Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara awal pagi tadi.

Tangkapan tersebut merupakan sebahagian operasi Op Ambang Merdeka 2020 yang dilaksanakan secara bersepadu dengan Pasukan Narkotik Polis Daerah Petaling Jaya bermula 9 malam hingga 4 pagi tadi.

Semasa pegawai AADK memasuki rumah wanita itu, keadaan kediamannya agak berselerak dengan pinggan mangkuk serta pakaian kotor.

Apabila disoal siasat pegawai ADDK, perempuan itu mengakui dia telah mengambil syabu dengan menggunakan peralatan khas yang disimpannya beberapa jam sebelum kehadiran penguatkuasa.

Pegawai wanita itu kemudian membawa perempuan ke tandas itu untuk menjalani ujian saringan awal urin sebelum dikesan positif syabu.

Tangan wanita itu digari sebelum dua anak lelakinya yang berusia antara 3 hingga 5 tahun memegang erat kaki ibunya.

Atas sikap simpati, pegawai AADK meminta bantuan jiran untuk menjaga kanak-kanak itu untuk beberapa hari.

Dalam bilik berasingan rumah yang sama, AADK dan polis turut menahan dua lagi lelaki tempatan dan dikesan positif Methaphetamine.

dua lelaki yang ditahan menagih dadah di sebuah rumah PPR Kota Damansara dalam operasi polis dan AADK Op Ambang Merdeka tengah malam tadi.

Difahamkan rumah wanita itu sering kali menjalankan aktiviti penyalahgunaan selepas waktu tengah malam dan wanita itu dan anaknya sentiasa dihulurkan makanan oleh jirannya.

Sebelum itu di perumahan kos rendah di Damansara, dua pemuda berusia antara 28 dan 29 tahun turut ditahan dengan peralatan menagih dadah ditemui disembunyikan di dalam biliknya.

Bapanya difahamkan seorang anggota polis mengakui kedua-dua anaknya telah merosakkan masa depan mereka akibat pengaruh tidak sihat rakan-rakan di kawasan itu dan mempunyai rekod keluar masuk penjara dan pusat pemulihan.

“Kedua-dua ini sanggup berkorban demi kawan mereka bukan demi ibu bapa lagi. Kami dah puas menasihati mereka tapi semuanya sia-sia umpama nasi sudah jadi bubur,” katanya sambil mengakui pernah ditumbuk oleh anak sulungnya hingga lebam di muka.

Dua pemuda ditahan menagih dadah bersama peralatan di kediamannya dalam serbuan polis dan ADK pada Op Ambang Merdeka tengah malam di kawasan Damansara.

Turut sertai OP Ambang Merdeka itu Pengarah AADK Selangor, Dr. Nazeera Sadiron serta Ketua Polis Daerah Petalig Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal.

Penugasan Op Ambang Merdeka di daerah itu melibatkan pasukan Siasatan Jenayah Komersial, Narkotik, Siasatan Jenayah dan juga Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti termasuk balai-balai polis di daerah tersebut dengan kekuatan anggota seramai 215 orang, 24 pegawai polis dan 46 anggota AADK.

Secara keseluruhannya bagi kesalahan jenayah narkotik, seramai 49 warga tempatan ditahan termasuk eorang wanita.

Nik Ezanee dalam kenyataan berkata, mengikut pecahan empat lelaki ditahan dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (bekalan),13 lelaki ditangkap bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 (memiliki) dadah, lima lelaki dan seorang wanita di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (urin) positif dadah dan Seksyen 30(3) ADB 1952 (ketum) membabitkan empat orang lelaki.

Sebanyak 22 tangkapan diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut selain merampas syabu seberat 11.33 gram, heroin 2.1 gram dan ketum sebanyak 31,850 mililiter daripada tangkapan itu.

Dalam operasi berasingan melibatkan Op Noda, pasukan bahagian jenayah menyerbu sebuah premis hiburan di Tropiciana Avenue dan mengeluarkan kompaun kepada 69 orang atas kesalahan melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pada pemeriksaan yang dilakukan itu, tiga warga asing iaitu dua lelaki Nepal dan seorang wanita disyaki pengurus dan pekerja premis hiburan yang tidak berlesen itu juga dicekup. – MalaysiaGazette