Adakah kita memerlukan 30 tahun lagi untuk memajukan ekonomi bangsa Melayu? - Gambar hiasan.

MALAYSIA telah merdeka mencecah 63 tahun, tempoh yang agak panjang.

Tempoh ini sepatutnya bangsa Melayu telah mencapai zaman kegemilangan dalam semua bidang kehidupan lebih-lebih lagi ianya dipimpin oleh bangsa Melayu tanpa sebarang pertukaran kerajaan selain dari kerajaan pimpinan bangsa Melayu.

Raja Chulalongkorn (1868-1910), Raja Siam mengambil tempoh 30 tahun untuk memajukan Siam dan berjaya. Begitu juga Meiji (1868-1912)mengambil tempoh yang sama untuk memajukan Jepun dan berjaya.

Raja Chulalongkorn dan Maharaja Meiji berjuang demi bangsa mereka akhirnya mereka berjaya. Ini bermakna kalau bangsa kita meletakkan bangsa sebagai keutamaan perjuangan kita boleh berjaya juga. Kegagalan bangsa kita sehingga kini bermakna kita tidak ada hala tuju untuk bangsa dan jauh sekali untuk agama. Semua lakunan dan drama didepan rakyat semata mata untuk meraih sokongan.

Kenapa Malaysia kedudukan bangsa Melayu semakin merosot. Bangsa Melayu di Tanah Melayu semakin merosot dalam semua bidang ekonomi, politik dan sosial.

Tidak menafikan sedikit kejayaan yang pernah dicapai oleh negara dalam bidang ekonomi dan pembangunan beberapa tahun lampau tetapi ianya bukan menggambarkan kejayaan bangsa Melayu.

Kejayaan sebenarnya perlu diukur kepada data-data yang ada dalam pembangunan ekonomi dan kekuatan kuasa politik yang ada, bukannya dilihat kepada kenyataan umum perkembangan ekonomi negara.

Dalam ekonomi pemilikan ekuiti Melayu dan bumiputera tidak melebihi 23 peratus semenjak negara merdeka. Bahkan sehingga hari ini ianya semakin menurun dan pernah mencecah 16 peratus. Kenapa terjadi sedemikian.

Tempoh 63 tahun sepatutnya kita semakin melonjak walaupun dengan sedikit lonjakan tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Ini belum dikira pemilikan ekuiti individu bangsa Melayu dan bumiputera. Dikatakan secara bersihnya tidak melebihi dua peratus.

Sudah berapa banyak seminar, bengkel dan lain-lain forum diadakan dan sudah berapa banyak kertas kerja dibentangkan untuk meningkatkan ekonomi bumiputera rupa-rupanya mengharapkan kertas bekerja.

Setiap kali seminar atau bengkel yang membicarakan tentang ekonomi bangsa Melayu dan bumiputera memakan masa berhari-hari berkampung di hotel-hotel terdiri dari kalangan pemimpin politik dan pakar-pakar ekonomi dari semua sektor dan tenaga akademik masih tidak dapat merubah pembangunan ekonomi bangsa Melayu.

Rupanya mulut yang berbicara tiada tindakan yang berjaya.

Adakah kita memerlukan 30 tahun lagi untuk memajukan ekonomi bangsa Melayu.

Tempoh 63 tahun merdeka kita kuburkan, 30 tahun pertama untuk batu nisan pertama, 30 tahun kedua untuk batu nisan kedua. Adakah bangsa Melayu perlu mula hidup baru untuk memajukan ekonomi selama 30 tahun lagi?

Masa tidak menunggu kita. Bangsa lain telah jauh ke depan dan tidak akan menunggu kita. Bahkan mereka tidak akan berkongsi dengan kita apa yang telah mereka perolehi dari sumber-sumber kekayaan negara ini.

Suasana politik yang kian mencabar tidak mudah untuk bangsa Melayu mengharungi cabaran yang ada kecuali dengan semangat juang dan jatidiri yang tinggi. Jatidiri yang boleh menguatkan bangsa Melayu hanya perlu kembali kepada peradaban Islam dan Melayu dalam semua tindakan.

Kerajaan Siam dan Jepun boleh bangun dalam tempoh 30 tahun kenapa bangsa Melayu gagal walaupun tempoh 63 tahun.

Ambang merdeka 63 tahun, bangsa Melayu perlu melihat semula kebelakang mencari punca kegagalan. Kenapa kita gagal dalam ekonomi. Kenapa kita gagal dalam politik. Faktor-faktor kita gagal dalam politik dan ekonomi perlu dipulihkan secepat mungkin.

Jangan asyik tertipu dengan fatamorgana kononnya Tanah Melayu milik kita jika ekonomi kita tercorot dan kuasa politik kita ibarat boneka bangsa lain semata-mata.

Kita tidak mahu bangsa kita hanya seronok dengan melambaikan bendera dihari kemerdekaan, bersorak sana sini meraikan kemerdekaan, berkonvoi kenderaan motor dan kereta merayakan kemerdekaan tetapi ianya tidak melebihi perumpamaan bangsa Melayu ” menang sorak kampung tergadai”. – MalaysiaGazette

Ustaz Sharipudin Ab Kadir.

Ustaz Sharipudin bin Ab Kadir, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).