Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan dirinya telah meluluskan Projek Sisa Pepejal Taman Beringin (PSPTB) secara rundingan terus tanpa pengetahuan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, sudah menjadi amalan sejak sekian lama, kementerian yang bertanggungjawab akan membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk mana-mana projek rundingan terus (RT).

“Ini merupakan suatu perkara yang mustahil. Saya ingin tegaskan bahawa amalan biasa ialah kementerian yang bertanggungjawab (iaitu KPKT) akan memohon kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk mana-mana projek RT dijalankan.

“Justeru, semestinya akan ada surat daripada KPKT kepada MoF.

“Surat permohonan KPKT kepada MoF tersebut sepatutnya dihantar pada tahun 2018 oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPKT memandangkan projek ini melibatkan jumlah besar sebanyak RM170.3 juta.

“KSU KPKT tidak mungkin menulis surat rasmi pada tahun 2018 kepada MoF tanpa pengetahuan atau restu menterinya iaitu Zuraida,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah menurut Setiausaha Agung DAP itu, sekiranya benar permohonan dibuat tanpa pengetahuan Zuraida, KSU boleh dikenakan tindakan disiplin.

“Saya tidak percaya bahawa KSU KPKT ialah seorang yang sanggup bertindak “khianat” sedemikian walaupun terhadap seorang menteri “pengkhianat” PH,” katanya.

Menurut Guan Eng, sehingga ke hari ini Ahli Parlimen Ampang itu masih gagal menafikan kewujudan surat permohonan daripada KSU KPKT kepada Kementerian Kewangan pada 2018.- MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.