Senator, Datuk Seri S. Vell Paari mengangkat sumpah pada Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Negara sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri S. Vell Paari yang baru mengangkat sumpah jawatan sebagai Senator Dewan Negara hari ini berikrar untuk terus memperjuangkan hak komuniti kaum India di negara ini.

Anak lelaki kepada Tun S. Samy Vellu itu bertekad merangka perancangan memastikan kaum itu turut mendapat peluang yang sama dalam semua sektor.

“Saya berhasrat untuk memperkasakan lagi komuniti India supaya turut diberi peluang sama rata dalam semua sektor seperti kaum lain,” katanya pada sidang media hari ini.

Vell Paari yang sebelum ini pernah menjadi Setiausaha Agung dan serta Bendahari Agung MIC mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau adalah lantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengangkat sumpah di hadapan Rais ialah Mohamad Apandi Mohamad, Ahmad Yahaya dan Datuk Wira Othman Aziz.

Mohamad Apandi lantikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan serta Ahmad Yahaya dan Datuk Wira Othman Aziz merupakan lantikan DUN Kedah. – MalaysiaGazette