Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bersama ahli Koperasi Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia Berhad (KOBOPEM) di Dewan Serbaguna Kompleks Kuarter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Cheras, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 03 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mahu  keanggotaan Koperasi Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia (KOBOPEM) diperluaskan.

Bukan hanya di kalangan anggota bomba, malah beliau turut mencadangkan agar warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diterajuinya, anggota  bomba bantuan dan bomba sukarelawan dibenarkan menjadi ahli koperasi berkenaan pada masa akan datang.

Dengan cara itu katanya, kedudukan KOBOPEM akan lebih kukuh dan terjamin kerana keanggotaannya bertambah.

“Mereka (bomba) ini antara warga KPKT juga, saling bekeluarga  juga. Dalam masa yang sama ini  akan dapat mengukuhkan kedudukan KOBOPEM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pelancaran Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia (KOBOPEM) di Kuarters JBPM di Cheras pagi ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Zuraida selain itu bersetuju agar KOBOPEM mengambil bahagian dalam tender kerajaan khususnya KPKT agar koperasi berkenaan boleh meluaskan perniagaannya  sekaligus meningkatkan perolehan demi dimanfaatkan kepada anggotanya.

“Dari segi meningkatkan pendapatan saya setuju meletak koperasi ini mengambil bahagian dalam tender kerajaan terutamanya KPKT. Dalam bidang penyelenggaraan, pembekalan,  kita akan usahakan bagaimana meletakkan KOBOPEM,” katanya lagi sambil menambah KOBOPEM boleh menjalankan kerjasama dengan syarikat korporat untuk terus berkembang maju.

Beliau turut menggalakkan semua anggota bomba memanfaatkan kewujudkan KOBOPEM untuk mendapatkan bantuan kewangan berbanding bank komersial yang lain.

Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, dalam menjangkau usia 35 tahun KOBOPEM masih kukuh  tanpa perolehan negatif.

Sehingga kini katanya, ahli yang berdaftar adalah seramai 9,677 orang dengan RM36 juta rizab yang dimiliki KOBOPEM dalam bentuk simpanan dan cairan di tangan peminjam.

KOBOPEM juga kata beliau lagi membuat pelaburan hartanah.

Pengurusan KOBOPEM tambah beliau diurus dengan teratur selain memberi manfaat insurans kepada anggotanya.

“Caruman setiap anggota terjamin dan terkawal diuruskan mengikut lunas peraturan dan kawalan teratur ditambah sistem pengurusan berteknologi  canggih,” beliau berkata. -MalaysiaGazette