Seethay Munianthy (kiri) bersama Kamachy Pitchaymuthu meluahkan rasa kecewa tentang gangguan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Flat Gugusan Kantan, Petaling Jaya. foto ISKANDAR HAMIDI, 4 SEPTEMBER 2020.

PETALING JAYA – Sabar menanti bekalan air, penduduk Flat Gugusan Kantan di Kota Damansara ternyata hampa.

Kamachy a/p Pitchaymuthu, 65 tahun ketika ditemui MalaysiaGazette berkata beliau menantikan bekalan air sampai dari pagi namun sehingga petang masih tiada.

Beliau yang mempunyai cucu tinggal bersama-samanya bimbang bekalan air di rumah tidak akan cukup sehingga esok.

“Walaupun tidak ramai, tapi saya sendiri tidak sempat menadah air dengan banyak.

“Dari tadi duduk tunggu di bawah flat sampai sekarang tiada juga bekalan air,”katanya.

Bagi Seethay a/p Munianthy, nasibnya lebih malang apabila tidak mempunyai simpanan air kerana langsung tidak mengetahu akan adanya gangguan bekalan air di banyak kawasan di Selangor hari iini.

Sudah tentu beliau buntu kerana hanya bekerja sebagai pembantu rumah, beliau tidak mampu membeli air.

“Saya memang tidak tahu air mula tidak ada hari ini. Bukan saya sahaja ramai lagi. Sangat risau sekarang ni sebab air di rumah hanya cukup untuk hingga malam ini sahaja,” ujarnya.

Kota Damansara merupakan salah satu kawasan yang terjejas akibat masalah bekalan air yang berlaku mula semalam.

Bapa kepada dua orang anak, Idris Abdul Rahman, 47, ketika ditemui berkata, meskipun mengetahui sejak semalam tentang gangguan air namun air yang ditadah masih tidak cukup sehingga esok.

Idris Abdul Rahman

Justeru itu beliau sangat berharap bekalan air akan sampai ke flat berkenaan selewat-lewatnya esok.

“Tapi saya tadah jelah sebagai persediaan. Sebab di rumah saya ada empat beranak.

“Tapi hanya cukup untuk sehari dua sahaja itu pun kalau tidak masaklah,” ujar beliau.

Sekiranya Air Selangor tidak sempat, sepatutnya menurut Idris, wakil rakyat yang berkenaan mengambil inisiatif membantu penduduk setempat mendapatkan bekalan air bukan sahaja di Kota Damansara, bahkan juga di kawasan lain.

“Wakil rakyat memang kena pegi turun padang main peranan pada waktu begini, tolong apa yang patut,” tambah pemandu Grab itu lagi.

Bagi Irwan Halim, 38, sekiranya Air Selangor datang dengan tangki air untuk mengagihkan bekalan ketika kebanyakan penduduk bekerja juga tiada gunanya.

 Irwan Halim.

Seperti dirinya sendiri yang bekerja sebagai penghantar surat, isteri Irwan turut bekerja dan akan balik pada lewat petang setiap hari.

Sehubungan itu, jika ada bekalan dihantar ketika beliau dan pasangan bekerja, begitu juga penduduk lain yang senasib dengannya.

Sudah tentu kata Irwan ramai lagi penduduk di sini tidak berkesempatan mendapat bekalan air.

“Yal ah saya dan isteri bekerja, baru balik kalau ada Air Selangor hantar tadi pun memang kami tidak ada di rumah.

“Kebanyakan penduduk di sini bekerja dengan syarikat swasta jadi balik pun petang, patut penghantar air kalau datang awal tadi tunggu atau buat giliran kami malam atau petang,” kata beliau.

Untuk rekod gangguan bekalan air di sesetengah kawasan Selangor ada yang sudah bermula sejak malam tadi dan ada yang awal pagi ini.

Ia dilaporkan berpunca daripada pelepasan seakan pelarut ke Sungai Gong oleh kilang yang mengakibatkan berlakunya pencemaran.

Ekoran itu kesannya, sebanyak 1,292 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Mengulas lanjut, Irwan kecewa kerana gangguan bekalan air di Selangor dilihat sudah menjadi masalah tradisi.

Air Selangor tambahnya patut menyediakan ‘back up plan’ dan mengkaji sebarang risiko berlakunya gangguan di mana akhirnya penduduk di negeri itu menjadi mangsa.

“Patutnya pengurusan Air Selangor sudah ada perancangan apabila perkara sebegini berlaku. Takkanlah setiap kali berlaku pencemaran loji rawatan itu semua penduduk Selangor terbiar tiada bekalan air,” kata beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bayangkan mahu mengendong 2 baldi air ketingkat 4 flat yang tak punyai lif semata2 mahu flush jamban dan mambasuh buntut selepas berak? Bayangkan pula sebuah unit yang dihuni oleh 8 orang anggota keluarga pada hari minggu?

Comments are closed.