KUALA LUMPUR – Aplikasi komunikasi Telegram telah disalah guna sebagai lubuk lucah dengan banyak “kumpulan seks” diwujudkan sebagai platform untuk bertukar-tukar gambar dan video seks, termasuk melibatkan gadis-gadis bawah umur dari Malaysia.

China Press melaporkan, terdapat individu yang sanggup bertukar-tukar kandungan hubungan seks semata-mata mahu memenuhi nafsu liar mereka.

Menurut wartawan akhbar itu yang menyamar untuk memasuki kumpulan seks dalam Telegram, kebanyakan mangsa merupakan gadis bawah umur, termasuk mereka yang melakukan aksi lucah dalam keadaan berpakaian seragam sekolah.

“Adalah percuma untuk memasuki satu kumpulan (dan mendapat kandungan lucah ini), cuma anda perlu dipelawa ahli untuk menyertai kumpulan ini,” demikian lapor akhbar itu.

Wartawan itu berjaya memasuki lima kumpulan selepas dipelawa seorang ahli wanita yang menjadi mangsa selepas gambar bogelnya dimuat naik orang.

“Jumlah ahli kumpulan adalah dari ratusan hinggalah mencecah sepuluh ribu orang bergantung kepada mana satu kumpulan.

“Ada yang sanggup memuat naik gambar hubungan seks dan ada yang menghantar gambar lucah teman wanita mereka untuk bertukar gambar lucah daripada orang lain.

” Selain itu, ada juga orang yang mahu menjual gambar lucah kepada orang lain.”

Selain sebahagian video aksi seks berpasangan dan video yang dipercayai dirakam tanpa disedari mangsa, kebanyakan video adalah melibatkan gadis keturunan Cina yang merakamkan aksi sendiri.

“Ada yang sengaja menunjukkan gaya menggoda, ada yang menanggalkan baju dan ada yang melakukan aksi lucah.”

Terdapat juga pedagang maya yang menawarkan kandungan bogel mencecah 1,000 GB dengan harga RM68.

Seorang mangsa berumur 21 tahun telah membuat laporan polis setelah mendapati gambarnya dalam keadaan bogel telah disebarkan oleh bekas kekasihnya.

Polis juga telah menahan suspek berumur 23 tahun di Kuantan, Pahang bersama adiknya yang berumur 22 tahun yang juga terlibat dalam merakam aksi-aksi lucah. – MalaysiaGazette