Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar bersama penduduk memegang kain rentang bantahan pada demonstrasi bagi mendesak kerajaan negeri Selangor mengambil tindakan kepada kilang-kilang haram yang menyebabkan pencemaran air di bulatan Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya, Batang Berjuntai, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2020

BESTARI JAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari disaran agar meletak jawatan sekiranya tidak tahu menyelesaikan masalah air di negeri pentadbirannya.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, isu air di negeri itu telah berlaku sejak 2016 namun, sehingga kini ia masih belum dapat diselesaikan.

Beliau mendakwa, kerajaan negeri pada ketika ini hanya tahu mengambil tindakan meroboh rumah yang didirikan di tanah rizab kerajaan negeri daripada meroboh kilang-kilang haram yang beroperasi hingga menyebabkan pencemaran sungai sekaligus menimbulkan masalah air bersih di Selangor.

“Kita nak tanya kepada kerajaan Selangor, kenapa rumah ditepi parit dirobohkan?

“Kenapa pula kilang haram tak dirobohkan. Sejak 2016 lagi kata kilang-kilang haram ini nak ditutup tapi kenapa sehingga sekarang tidak,” katanya ketika ditemui di Kampung Bestari Jaya di sini hari ini.

Noh berkata, beliau sedia untuk memberi tunjuk ajar kepada Amiruddin sekiranya beliau mahukan khidmatnya mengurus pentadbiran kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar bercakap pada demonstrasi bagi mendesak kerajaan negeri Selangor mengambil tindakan kepada kilang-kilang haram yang menyebabkan pencemaran air di bulatan Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya, Batang Berjuntai, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2020

Ini kerana beliau mendakwa, tahu latar belakang Menteri Besar itu yang sebenarnya tidak mempunyai kelayakan yang wajar untuk memegang jawatan itu dan menjawat jawatan tersebut sekadar kebetulan sahaja.

Beliau turut menunjukkan bukti bahawa Amiruddin tidak turun ke bawah bertemu dengan rakyat bagi mengetahui masalah yang sedang dihadapi sebaliknya, menghilangkan diri dengan pergi ke negeri di bawah bayu.

“Mana muka dia…dia pergi Sabah…patut turunlah ke bawah tengok simpati rakyat. Jangan lepaskan tangan bagi pegawai jawab.

“Ini menteri besar yang tak bertanggungjawab dan tak layak jadi Menteri Besar Selangor,” ujarnya.

Terdahulu, Noh menyertai demonstrasi aman bersama kira-kira 100 penduduk di beberapa kawasan yang terjejas masalah air di Bestari Jaya.

Demonstari itu dilakukan sebagai bantahan terhadap kerajaan negeri dan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap masalah ketiadaan air yang berlaku sejak beberapa hari lalu.

Noh turut menyifatkan kerajaan Selangor sekarang ini wajar untuk di tumbangkan ekoran meninggalkan prestasi yang tidak cemerlang khususnya kepada rakyat di negeri itu.

Ujarnya, jika kerajaan Pakatan Harapan boleh ditumbangkan di peringkat Persekutuan kerana gagal mentadbir negara dengan baik terutama ketika mendepani pandemik Covid-19, tidak mustahil ia boleh berlaku kepada kerajaan Selangor yang dilihat lemah dalam soal pentadbiran dan mengurus negeri terutamanya langkah menyelesaikan masalah air. – MalaysiaGazette