Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Proses pendakwaan terhadap suspek yang dipercayai bertanggungjawab mencemar sumber bekalan air di Selangor, akan dilakukan pada minggu depan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu akan diambil pihaknya kerana perbuatan suspek telah mengakibatkan gangguan air secara meluas di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Proses pendakwaan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 akan dilaksanakan minggu depan,” kata dalam satu kenyataan, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, pindaan ke atas peruntukan undang-undang sedia ada juga akan disegerakan agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah.

Katanya, langkah itu dibuat agar ia memberi pengajaran dan balasan setimpal dengan apa yang mereka dilakukan.

“Pindaan yang dibuat akan membabitkan Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Span dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim memaklumkan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas telah mencapai status pemulihan sehingga 51.6 peratus.

“Air Selangor menjangkakan bekalan akan pulih sepenuhnya secara berperingkat.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengarahkan Air Selangor untuk memaklumkan kepada pengguna tentang jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan dalam masa terdekat setelah sistem agihan bekalan air
distabilkan.

“Hal ini termasuk memenuhkan semua tangki-tangki utama yang telah kosong, memastikan tekanan air mencukupi dan memastikan tiada ‘airlock’ dalam sistem perpaipan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya telah menahan empat lelaki pemilik kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.

Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam tadi.

Tangkapan dibuat di kediaman mereka dan ada yang ditahan selepas tampil di Balai Polis Daerah Gombak. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Sungai yang dicemari dengan TAIK BABI juga memerlukan penyelesaian jangka panjang yang tuntas!

    Ramai yang berdiri tegun dibelakan Tuan Ibrahim dan yakin dengan kemampuannya menyelesaikan isu ini!

Comments are closed.