Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam lagi kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini dengan tiga daripadanya kes import yang telah mendapat jangkitan luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ianya melibatkan tiga warga asing , dua daripadanya dari Indonesia dan satu Bangladesh.

Jelas beliau, tiga lagi penularan dalam negara dalam kalangan rakyat tempatan termasuk dua dari Sabah (kluster Benteng) dan satu dari Pulau Pinang.

“Sebanyak dua kes telah pulih hari ini dengan jumlah kumulatifnya adalah 9,115 kes.

“Manakala kes positif Covid-19 di Malaysia ketika ini ialah 9,397 kes. Juga ingin  dimaklumkan, sehingga kini terdapat enam kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, kata beliau lagi, tidak ada sebarang pertambahan kes kematian Covid-19 yang dilaporkan setakat hari ini.

“Jumlah kumulatif kes kematian masih kekal sebanyak 128 kes,” ujarnya. –MalaysiaGazette