KUALA LUMPUR – Grab akan mengembangkan perkhidmatan GrabCar di Mersing dan Segamat pada akhir bulan ini dan GrabFood dan GrabMart pada suku keempat tahun ini.

Ia juga akan memulakan operasi di Cameron Highlands, Pantai Remis dan Baling.

Peluasan operasi ini adalah sebahagian usaha Grab untuk memenuhi keperluan harian rakyat Malaysia malah membantu mewujudkan lebih banyak peluang untuk pekerja ekonomi gig dan perniagaan berkembang, dan mencapai keseimbangan bagi industri ini terus mampan.

”Sebagai penyokong ekonomi digital, kami berbangga membawa teknologi kami ke komuniti di luar bandar dengan menyediakan rakyat Malaysia dengan penyelesaian yang lebih selamat, boleh dipercayai dan berpatutan.

”Pada masa yang sama, kami mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan di seluruh ekosistem perkhidmatan kami yang merangkumi pengangkutan,
makanan dan pasar raya terutama di kawasan luar bandar,” kata Ketua Luar Bandar, Grab Malaysia, Ben Chin.

Grab juga telah memperluas inisiatif "Pakej Pikul Bersama" untuk rakan pemandu baharu yang menyertai platform kami dengan menyediakan pembayaran balik sekali-sahaja sehingga RM120 untuk lesen PSV dan RM70 untuk pemeriksaan permulaan kenderaan di PUSPAKOM.

Inisiatif "Pakej Pikul Bersama" diwujudkan untuk membantu  rakan-pemandu melepasi beberapa proses peraturan ketika pertama kali diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan pada tahun 2019.

Menurutnya, pengenalan perkhidmatan Grab yang lain seperti GrabFood dan GrabMart dalam beberapa bulan akan datang, dapat membantu meningkatkan peluang-peluang perniagaan dan pendapatan di seluruh negara. – MalaysiaGazette